PETALING JAYA - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) diberi tempoh sebulan untuk meneliti isu kelewatan pengeluaran permit bagi pekerja berpengetahuan bukan warganegara (FKW) dan mencari penyelesaian bagi mengurangkan tempoh kemasukan mereka bekerja di Malaysia dalam industri pusat panggilan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, langkah memudahkan kemasukan FKW itu selari dengan hasrat kerajaan memudah cara perniagaan dan menjadikan Malaysia destinasi premier bagi banyak syarikat asing membuka perniagaan, syarikat dan operasi peringkat Asia Tenggara dengan pangkalannya di sini.
"Saya percaya sekiranya kita dapat uruskan isu FKW ini, ia akan datangkan manfaat kepada ekonomi Malaysia. Meningkatkan juga secara langsung pendapatan rakyat Malaysia kerana akan ada tempias dari segi ekonomi dengan kehadiran lebih ramai pekerja yang akan dibayar dengan gaji yang baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di CX Summit 2023 di sini pada Rabu.
Beliau berkata, tempoh masa untuk menunggu FKW yang diuruskan oleh MDEC kini adalah lapan minggu hingga 12 minggu atau lebih dan pengurangan tempoh menunggu itu perlu dilakukan tanpa ketepi aspek keselamatan.
Menurut Fahmi, MDEC akan berurusan dengan agensi lain untuk melihat bagaimana mempercepat dan mempermudah proses bagi syarikat yang memohon FKW.
Fahmi berkata, usaha untuk mengurangkan tempoh menunggu FKW wajar dilakukan kerana organisasi pusat panggilan di Malaysia kini adalah besar dan sangat penting dengan bilangan pekerja antara 200,000 hingga 300,000 orang di seluruh negara.
Justeru, Fahmi berkata, beliau berharap tempoh sebulan yang diberi kepada MDEC akan membolehkan satu berita gembira diumumkan menjelang awal tahun 2024.
Malaysia sangat berpotensi dan pernah menjadi destinasi yang diutamakan dalam Global Business Services sejak pengumuman dasar MSC (Multimedia Super Corridor) dulu, katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan peringatan kepada syarikat-syarikat pusat panggilan supaya memberi penegasan dalam aspek keselamatan siber bagi mengelak pangkalan data yang dipegang dan diproses atau pegawai tadbir (admin) data menjadi laluan bagi penjenayah curi data.
"Kita sedia maklum hari ini penjenayah cuba mencuri data peribadi. Mereka akan gunakan apa juga cara termasuk phishing, Malware, Ransomware untuk mencuri data yang dimiliki syarikat-syarikat terutamanya organisasi pegang data yang banyak,” kata Fahmi.
Beliau berkata, semua pusat panggilan juga sudah pasti dalam kalangan sasaran bagi penjenayah yang ingin mencuri data walaupun ada pusat panggilan yang berada dalam organisasi seperti syarikat perbankan dengan aspek keselamatan siber yang lebih mantap.
CX Summit 2023 atau Customer Experience Summit 2023 anjuran Contact Centre Association of Malaysia (CCAM) merupakan acara tahunan yang memasuki edisi kelapan penganjurannya kali ini.
CX Summit 2023 mengumpulkan semua organisasi pusat panggilan yang terdapat di Malaysia dan luar negara bagi membincangkan cabaran, isu semasa dan hala tuju industri. - Bernama