Penganggur didakwa amang seksual dua kanak-kanak di PPS

Iklan
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir, minggu lepas.

Mohammed Rashid Rahmat, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapanya itu dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Mohammed Rashid didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang masing-masing berusia tujuh tahun empat bulan dan tujuh tahun lima bulan di pekarangan koridor PPS di sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 22 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan agar melapor diri di Balai Polis Gong Badak setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding.

Mahkamah menetapkan 31 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nurul Najmi Adila Md Nasir. - Bernama