Rusia tawar pengecualian visa kepada pelawat Malaysia

Iklan
Rusia bersedia memberikan pengecualian visa kepada pelawat Malaysia.

KUALA LUMPUR - Rusia bersedia memberikan pengecualian visa kepada pelawat Malaysia, kata Timbalan Ketua Misi Kedutaan Rusia ke Malaysia, Alexander Zimin.

Beliau berkata, perjanjian antara kerajaan yang berkaitan sedang diusahakan oleh kedua-dua negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penandatanganan perjanjian seumpama itu akan menjadi langkah penting untuk memudahkan akses pelancong Malaysia ke Rusia berikutan peningkatan minat rakyat Malaysia melancong ke negara itu.

"Kementerian luar kedua-dua negara sedang membincangkan draf perjanjian antara kerajaan mengenai rejim pengecualian visa dan kami percaya mungkin tahun depan, kami dapat menandatanganinya di peringkat kerajaan," katanya semasa berucap pada majlis Jerayawara Jawatankuasa Pelancongan Bandar Moscow 2023 di sini pada Rabu.

Iklan

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman

Zimin menegaskan bahawa kedua-dua negara juga bersetuju untuk menubuhkan Kumpulan Kerja khusus mengenai Pelancongan semasa sesi kedua Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan

Beliau berkata, pelancongan ditonjolkan sebagai satu daripada 11 sektor utama untuk kerjasama dua hala dalam minit perjanjian bersama.

"Kami berharap mereka boleh menjadi tuan rumah mesyuarat pertama kumpulan kerja mengenai pelancongan pada tahun 2024. Ini adalah tanda kepentingan bersama untuk kerjasama dalam sektor pelancongan, selain bukti potensi sektor pelancongan sebagai penggerak bagi hubungan ekonomi dua hala dan untuk pertumbuhan dalam interaksi antara rakyat,” katanya.

Zimin berkata, lebih 100,000 pelancong Rusia dijangka melawat Malaysia menjelang akhir tahun ini, dengan Rusia menduduki tempat ke-16 dalam kalangan pelawat asing Malaysia.

Sementara itu, Roslan berkata, Malaysia menerima kira-kira 79,000 pelancong Rusia pada 2019, tetapi jumlah itu menurun dengan ketara pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19.

Pada 2022, beliau berkata, Malaysia mencatatkan kira-kira 33,000 ketibaan pelancong dari Rusia, manakala dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah itu meningkat kepada 85,000 orang.

"Hubungan pelancongan yang semakin meningkat antara Malaysia dan Rusia menekankan hubungan dua hala yang teguh yang wujud antara kedua-dua negara. Pelancongan juga berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan manusia, memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap budaya masing-masing,” katanya.

Jerayawara itu membawa delegasi syarikat pelancongan dari Moscow ke Malaysia sebagai sebahagian daripada matlamatnya untuk memperkenalkan agensi pelancongan tempatan dengan kelebihan daya saing di ibu negara Rusia dalam menarik pelancong asing.

Selain itu, ia bertujuan untuk mewujudkan hubungan kerja dan menjalin perkongsian baharu antara mereka.

Dalam separuh pertama tahun ini, lebih 10.3 juta pelancong melawat ibu negara Rusia untuk meneroka seni bina yang luar biasa, pameran muzium yang jarang ditemui, makanan lazat dan sejumlah besar tempat untuk rekreasi keluarga. - Bernama