KAHERAH - Sekurang-kurangnya 28 termasuk pekerja tekstil dan beberapa pelancong Asia terbunuh dalam dua kemalangan berasingan di Mesir semalam.
Akhbar al-Ahram melaporkan nahas tersebut berlaku apabila bas yang membawa pekerja tekstil berlanggar dengan sebuah kereta di laluan antara bandar Port Said dan Damietta di kawasan utara.
"Sekurang-kurangnya 22 lelaki dan seorang wanita yang bekerja di sebuah kilang pakaian terbunuh manakala lapan yang lain cedera," jelas laporan itu lagi.
Difahamkan, kemalangan itu berlaku beberapa jam selepas dua bas membawa pelancong merempuh sebuah trak di laluan ke resort Ain Sokhna di Laut Merah.
Sumber perubatan memaklumkan dua wanita rakyat Malaysia dan seorang lelaki India maut bersama tiga warga tempatan.
Menurutnya, kira-kira 24 yang lain turut alami kecederaan dan ada yang cedera parah.
Ia bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut tentang insiden itu.
Kemalangan jalan raya adalah kejadian yang sering berlaku di Mesir berikutan kebanyakan laluan tidak diselenggara dengan baik dan pelaksanaan peraturan yang lemah.
Data Biro Statistik menunjukkan berlaku 8,480 kemalangan di Mesir pada 2018 berbanding 11,098 pada tahun sebelumnya. - AFP