Lawatan Anwar, Srettha ke Selatan Thailand tingkat kerjasama pembangunan sempadan

Iklan
Anwar (kanan) bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin menyertai lawatan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, baru-baru ini.

BANGKOK - Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin ke Sadao di Selatan Thailand baru-baru ini membuahkan kemajuan ketara dalam kerjasama pembangunan sempadan.

Jurucakap kerajaan Thailand, Chai Wacharonke berkata, lawatan itu mengukuhkan kerjasama antara Thailand dan Malaysia dalam pelbagai sektor, termasuk pembangunan infrastruktur, perdagangan, pelancongan, pertanian dan keselamatan sempadan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Srettha memahami sepenuhnya kepentingan hubungan dua hala antara Thailand dan Malaysia dalam pelbagai dimensi.

"Pertemuan perdana menteri Thailand dan Malaysia ini adalah kesinambungan usaha kita untuk mengukuhkan hubungan dua hala. Kita telah melakar kemajuan konkrit dalam banyak bidang, termasuk pembangunan infrastruktur, kemudahan dalam perdagangan, pelancongan dan pembangunan pertanian.

Iklan

"Ini menunjukkan tekad kedua-dua pemimpin untuk bersama-sama mempromosi dan membangunkan kawasan sempadan dan memacu kerjasama yang memberi manfaat bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Chai berkata, pemimpin Thailand dan Malaysia komited untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan untuk memenuhi objektif masing-masing, termasuk menyegerakan pemeterian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengangkutan rentas sempadan bagi memudahkan perdagangan dan perniagaan tanpa sempadan antara kedua-dua negara.

Iklan

Beliau berkata, Thailand dan Malaysia telah menyatakan harapan bersama untuk menyiapkan segera laluan jalan penting yang menghubungkan pos pemeriksaan baharu Sadao di Thailand dengan pos pemeriksaan Bukit Kayu Hitam di Malaysia bagi meningkatkan penyambungan rentas sempadan dan merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah.

Bagi menangani penyeludupan haiwan liar rentas sempadan, Chai berkata, kedua-dua pemimpin berjanji untuk bekerjasama rapat dan intensif dalam menangani perdagangan haiwan liar secara haram.

Srettha dan Anwar mengadakan pertemuan empat mata dan menghadiri pertemuan dua hala pada Isnin.

Kedua-dua pemimpin turut melawat tempat pertemuan projek jajaran jalan yang menghubungkan pos Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dengan CIQ Sadao, projek yang sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara.

Anwar dan Srettha juga melawat ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah. - Bernama