ALOR SETAR - Jenamanya mungkin tidak begitu dikenali ramai seperti jenama produk lain, namun belacan Sinar yang diusahakan seorang pengusaha belacan di sini, telah menjadi pilihan ramai chef Malaysia yang berkelana di Makkah, Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu.
Selain ke Tanah Suci, belacan Sinar yang juga dikenali dengan nama ‘belacan Alor Ibus’ dan diusahakan seorang wanita, Rodiyah Hashim di Kampung Alor Ibus, Kuala Kedah di sini juga telah merantau ke beberapa negara lain bagi memenuhi keinginan rakyat Malaysia terhadap bahan penyedap makanan itu.
Iklan
Iklan
Menurut Rodiyah, 55, belacannya mendapat permintaan tinggi daripada chef-chef Malaysia di Makkah yang gemar menggunakan bahan itu dalam masakan mereka terutama untuk disajikan kepada jemaah Malaysia yang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.
Menceritakan mengenai perusahaan belacan itu, Rodiyah berkata, ia bermula 21 tahun dahulu apabila dia mula membuat belacan bagi mencari pendapatan sampingan, dengan niat membantu suaminya, Sudin Bakar, 55, yang hanya berpendapatan rendah sebagai pemandu lori treler.
"Bermula dengan modal RM2,000 saya mengusahakan belacan ini, semua kerja-kerja daripada menjemur udang sehinggalah menggaul, menumbuk udang dan membentuk ketulan belacan dilakukan dengan sendiri,” katanya.
Katanya, bahan utama penghasilan belacan iaitu udang perlu dikeringkan sebaik mungkin bagi mengelakkan bau hapak, dan proses lain seperti menggaul dan menumbuk udang turut perlu dilakukan dengan betul.
"Setiap hari sebanyak empat tan metrik udang dari Kuala Selangor, Selangor digunakan untuk menghasilkan belacan. Semua kerja dilakukan oleh pekerja saya selain dibantu oleh anak-anak,” katanya yang menghasilkan belacan pelbagai saiz dan dijual antara 80 sen hingga RM5 setiap satu. - Bernama