Notis had operasi masjid tidak sah: MAINPP

Iklan
Notis yang dikeluarkan Jawatankuasa Masjid Jalan York berhubung waktu operasi masjid. Gambar kecil: Abdul Malik

GEORGETOWN - Notis had waktu operasi masjid yang dikeluarkan Pengerusi Masjid Jalan York bertarikh 24 Disember lalu disahkan tidak terpakai berdasarkan Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah (Negeri Pulau Pinang) 1997 - Kaedah 35 Fungsi Masjid.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, berdasarkan kaedah fungsi masjid tersebut, semua masjid perlu dibuka sekurang-kurangnya untuk solat fardu lima waktu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masjid perlu digunakan sebagai tempat orang Islam beribadat terutama untuk solat fardu lima waktu, solat Jumaat dan solat-solat lain.

"Berdasarkan kaedah tersebut, saya menganggap notis tersebut tidak terpakai. Ini kerana selain solat masjid juga berfungsi sebagai pusat kegiatan agama Islam dan pembangunan ummah serta pusat sumber yang mengandungi maklumat penduduk, MAINPP dan maklumat lain.

Iklan

"Sehubungan itu, saya ingin menasihati dan mengingatkan semua pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) kariah tentang bidang kuasa sebagai pentadbir masjid, tanah wakaf masjid dan tanah perkuburan masjid. Mereka hanya berperanan sebagai wakil MAINPP seperti yang termaktub dalam Kaedah 3 dan 8 sahaja. Mereka tidak mempunyai kuasa mutlak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abdul Malik berkata, MAINPP boleh memberi arahan secara bertulis kepada pegawai masjid, AJK kariah atau AJK biro agar melaksanakan fungsi masjid seperti yang ditetapkan.

Iklan

Tambahnya, Setiausaha MAINPP melalui Pegawai Agama Daerah Timur laut akan menjalankan siasatan dan mengeluarkan arahan selanjutnya berhubung notis had operasi masjid tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Malik menyatakan kekecewaannya berhubung artikel bertajuk 'Berita Yang Amat Pedih' di media sosial yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.

Had waktu operasi: JHEAIPP akan panggil pengerusi masjid