KECOH sekejap pejabat penulis gara-gara saringan kesihatan yang ditawarkan secara percuma untuk kakitangan yang berumur 40 tahun ke atas.
Ramai yang mendaftar, ada yang teruja, tak kurang juga yang cuak, maklumlah dah lama tak buat check up atau mungkin ada yang tak pernah buat pun.
Penulis pun sebenarnya cuak juga. Bukan takut nak jumpa doktor tapi takut nak tahu keputusannya.
Kita rasa kita sihat tapi ada penyakit rupanya. Bacaan gula tinggi, tekanan darah naik, kolesterol mencanak, itu belum lagi penyakit kronik yang lain.
Bagi penulis, kadang-kadang lebih baik tidak tahu walau sebenarnya mentaliti sebegitu ‘memakan diri’. Mencegahkan lebih baik daripada mengubati.
Kita disarankan untuk menjalani saringan kesihatan sekali setahun jika berumur 40 tahun ke atas dan sekali setiap dua tahun jika berumur bawah 40 tahun.
Saringan kesihatan adalah cara yang amat efektif untuk mengesan sebarang penyakit atau masalah perubatan, meskipun tiada tanda-tanda yang kelihatan.
Pengesanan awal akan memberi kita peluang terbaik untuk mengawal kesihatan, dengan mendapatkan rawatan yang sewajarnya pada waktu yang tepat.
Hasil tinjauan State of Health of the Nation yang dijalankan secara dalam talian pada Disember 2022 yang membabitkan 500 responden berumur 40 hingga 60 tahun mendapati tiga perempat daripada 85 peratus rakyat Malaysia dewasa yang tidak menjalani saringan kesihatan berkala, didiagnosis dengan beberapa penyakit tidak berjangkit (NCD).
Daripada jumlah itu, gejala kolesterol tinggi menyumbang kepada 37 peratus diikuti tekanan darah tinggi (29 peratus), diabetes (13 peratus) dan masalah kesihatan lain (10 peratus).
Dapatan hasil tinjauan itu turut merangkumkan hanya 66 peratus rakyat Malaysia dalam lingkungan usia berkenaan mempunyai kesedaran untuk menjalani saringan kesihatan setiap tahun, manakala 85 peratus mendakwa pernah membuat saringan kesihatan pada masa lalu.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pula, satu daripada lima orang dewasa atau 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes, manakala tiga daripada 10 orang atau lapan juta orang mengalami kolesterol tinggi.
Saringan kesihatan secara tetap boleh membantu kita mengenal pasti sebarang isu kesihatan tersembunyi yang boleh memudaratkan badan.
Penulis beruntung kerana pihak pengurusan sering mengadakan program-program kesihatan untuk kakitangannya secara percuma.
Menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat, satu inisiatif kerajaan ke arah meningkatkan taraf kesihatan dan kualiti hidup rakyat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan saringan kesihatan percuma untuk warganegara Malaysia berumur 40 tahun ke atas.
Antara saringan yang disediakan ialah pemeriksaan indeks jisim tubuh, tekanan darah, paras glukos darah, paras kolesterol darah dan status merokok.
Saringan turut disediakan untuk penerima Bantuan Prihatin Rakyat dan pasangannya yang berdaftar melalui PeKa B40. Bagi golongan ini, kategori saringan lebih pelbagai.
Untuk maklumat lanjut, sila layari portal rasmi KKM di www.moh.gov.my.
Bermula 16 Mei 2023 sehingga 31 Disember 2023, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Program Saringan Kesihatan (HSP) 3.0 menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarumnya di bawah Skim Keilatan.
Antara saringan yang disediakan termasuk ujian pap smear dan mammogram. Butiran lanjut berhubung program tersebut boleh didapatkan melalui www.perkeso.gov.my.
Bagi rakyat Selangor khususnya, anda perlu merebut tawaran saringan percuma di bawah program Selangor Saring yang disediakan di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Nasihat penulis, bertindaklah sekarang. Jangan zalim kepada diri sendiri kerana sihat itu mahal untuk mendapatkannya tetapi sakit itu lebih mahal untuk menanggungnya.
* Puperahaizad Darsono ialah penyunting Sinar Harian