ARENA sukan negara kehilangan pemimpin sukan berwibawa selepas Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab meninggal dunia di Melaka pada Selasa.
Pemergian Abu Samah, 82, dianggap satu kehilangan besar khususnya buat komuniti sukan berbasikal negara memandangkan Allahyarham cukup komited sepanjang menggalas tugasnya selaku Presiden PKBM.
Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, Allahyarham telah mencurahkan segala kudrat dan keringatnya selama lebih 40 tahun demi pembangunan dan meningkatkan prestij sukan berbasikal negara.
"Sudah tentu pemergian Datuk Abu Samah satu kehilangan besar kepada komuniti berbasikal di negara ini. Kita semua merasai perkara itu sejak semalam (Selasa) apabila diberitakan beliau telah meninggal dunia.
"Saya percaya bukan sahaja komuniti sukan berbasikal Malaysia, malahan para pemimpin dan komuniti sukan berbasikal di luar negara turut berkongsi kesedihan yang sama kerana beliau cukup disenangi ramai pihak.
"Saya menerima panggilan dan mesej dari seluruh dunia. Ini menunjukkan beliau merupakan seorang pemimpin sukan berbasikal yang disanjungi bukan sahaja di Malaysia tetapi di Asia dan antarabangsa," katanya.
Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Mohd Yusof Nasir pula berkata, Abu Samah cukup disenangi barisan jurulatih dan pelumba negara atas sikap Allahyarham yang prihatin dalam mendengar keluh kesah mereka.
"Kami boleh anggap Allahyarham umpama seorang bapa dan sahabt. Sebagai seorang presiden persatuan (PKBM), beliau banyak membantu kami dalam apa sahaja hal berkaitan.
"Bukan saya sahaja, saya percaya mereka yang mengenali Allahyarham cukup terkesan dengan pemergian beliau. Kita bukan kehilangan seorang pemimpin, tetapi juga seorang bapa dalam arena berbasikal negara.
"Siapa sahaja yang akan menggantikan tempat Allahyarham nanti (selaku Presiden PKBM), saya harap individu berkenaan dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagaimana yang dilakukan Allahyarham," jelas Mohd Nasir.
Bekas pelumba negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi turut berharap legasi yang ditinggalkan Abu Samah yang juga penerima Anugerah Kepimpinan Sukan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2012 mampu diteruskan.
"Terlalu banyak jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam sukan berbasikal negara. Cuma saya berharap apa yang ditinggalkan Allahyarham, dapat disambung untuk membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi," ujarnya.
Abu Samah yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Mahkota Melaka pada 7 malam Selasa, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semabok, Melaka pada Rabu.
Allahyarham menghidap kanser prostat tahap empat sejak setahun dan kesihatannya mula merosot sejak dua minggu lalu sebelum dimasukkan ke hospital pada Ahad.
Beliau yang menggalas jawatan Presiden PKBM sejak 1990 meninggalkan isteri, Datin Halimah Ali, 82, tujuh anak serta cucu dan cicit.
Sepanjang kariernya, Allahyarham mendapat beberapa pengiktirafan tertinggi atas jasa dan sumbangannya dalam memajukan arena berbasikal Malaysia mahupun antarabangsa.
Untuk rekod, Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menerima Anugerah Merit Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 2012.
Beliau merupakan penerima ketiga dari Malaysia selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan bekas Presiden ACC, Tan Sri Darshan Singh.
Pada 2014, beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Merit ACC berdasarkan sumbangannya kepada sukan berbasikal di benua Asia dan menerimanya daripada Presiden ACC ketika itu, Choo Hee Wok.
Pada Mei lalu, Abu Samah melakar sejarah baharu dalam arena sukan tanah air apabila menerima Anugerah Merit Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF).
Kejayaan itu juga bermakna Abu Samah muncul tokoh sukan pertama di negara ini yang menerima Anugerah Merit daripada badan induk dunia - (UCI); benua - ACC dan wilayah serantau - ACF.
Pengiktirafan itu atas jasa Abu Samah yang telah mengasaskan Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) pada 2001 selain sumbangan berterusan kepada sukan berbasikal di Asia Tenggara sejak awal tahun 1990-an.
Di bawah kepimpinan Allahyarham selaku Presiden PKBM, skuad negara menempa beberapa sejarah gemilang termasuk kejayaan pada temasya Sukan Olimpik.
Antara yang mendapat perhatian sudah pasti terarah kepada kejayaan jaguh trek, Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat perak dan gangsa acara keirin - masing-masing pada edisi Tokyo 2022 dan Rio 2016.