DUA kesilapan penjaga gol Manchester United, Andre Onana dimanfaatkan sepenuhnya tuan rumah Galatasaray apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat keputusan seri 3-3 dalam aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara di Stadium RAMS Park, Istanbul pada Khamis.
Keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian Erik ten Hag itu terperosok di kedudukan tercorot kumpulan dengan empat mata selepas mengharungi lima perlawanan.
Harapan juara Eropah tiga kali itu untuk mara ke pusingan 16 terbaik tampak samar selepas Copenhagen seri 0-0 menentang Bayern Munich di Allianz Arena.
Bagi mara ke pentas kalah mati United tiada pilihan kecuali mengalahkan Bayern di Stadium Old Trafford pada 13 Disember ini, yang telah mengesahkan slot ke pusingan 16.
Alejandro Garnacho (m-11), Bruno Fernandes (m-18) dan Scott McTominay (m-55) menjaringkan gol untuk United dalam perlawanan berintensiti tinggi di Istanbul itu.
Namun dua gol Hakim Ziyech (m-29, m-62) diikuti kebijaksanaan Muhammed Kerem Akturkoglu memanfaatkan kesilapan Onana, membutirkan gol penyamaan minit ke-71.
Sementara itu, kapten United, Bruno Fernandes menyifatkan aksi ditampilkan The Red Devils sebagai persembahan yang sangat buruk.
"Kami memimpin permainan dua kali dan mempunyai terlalu banyak peluang untuk menutup permainan lebih awal tetapi kami tidak cukup klinikal.
"Kami kehilangan gol pula dengan cara yang sangat buruk dan seharusnya lebih tenang mengawal keadaan itu," katanya.
Dalam pada itu, ten Hag mengakui sepatutnya United membawa pulang tiga mata dari Istanbul.
Namun jelasnya situasi itu juga sepatutnya berlaku di Copenhagen, dan ketika di Old Trafford Galatasaray, selepas United bermain baik.
"Tetapi pada masa yang sama, saya perlu mengkritik pemain-pemain kerana kita tidak cukup baik dalam mempertahankan kedudukan untuk menang 3-1.
"Itulah yang berlaku dalam perlawanan ini selepas kita membuat kesilapan mudah lagi," katanya.