IPOH - Kerajaan Perak melancarkan Pelan Perindustrian Perak bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan prestasi sektor perindustrian negeri bagi tempoh 10 tahun sehingga 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Perak menerusi pelan berkenaan disasarkan bernilai RM123 bilion dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, sektor perindustrian dijangka menyumbang sebanyak 25 peratus dengan nilai mencecah RM30.9 bilion.
"Pelan ini menyasarkan jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM47 bilion bagi tempoh 10 tahun di mana beberapa sektor utama berteknologi tinggi diberi tumpuan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan di negeri Perak.
"Antaranya sektor elektrikal dan elektronik (E&E), automotif dan komponen serta kenderaan elektrik (EV), industri berasaskan mineral, bioteknologi, peranti perubatan dan lain-lain sektor yang berkaitan," katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Penghargaan Pelabur 2023 di sebuah hotel di sini pada malam Rabu.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Eksekutif InvestPerak, Mohamad Hashim Abdul Ghani.
Saarani berkata, Pelan Perindustrian Perak disediakan sebagai usaha menjadikan negeri ini sebagai pilihan pelabur selain melonjakkan lagi pembangunan sektor perindustrian serta menarik lebih banyak pelaburan langsung.
Jelasnya, ia secara langsung menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, semua sektor telah dikenal pasti dalam mengetengahkan Perak sebagai sebuah negeri maju dan berdaya saing.