KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipetua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menegur sikap ahli Parlimen ketika berbahas atau menyampaikan hasrat rakyat yang diwakili mereka.
Sambil membangkitkan persoalan sama ada ia dilakukan dengan cara yang mulia selari dengan kedudukan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Cameron Highlands itu meminta agar semua wakil rakyat terlibat memikirkannya.
Iklan
Iklan
"Kita memanggil Dewan (Rakyat) yang mulia tapi adakah sikap dan perangai kita semasa berbahas dan (ketika) menyampaikan hasrat rakyat di bawah sana ia (dibuat dengan) cara yang mulia.
"Satu benda untuk difikirkan,” katanya sebelum memulakan sesi persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
Kenyataan yang dibuat Ramli dipercayai merujuk kepada insiden kekecohan yang berlaku ketika sesi perbahasan.
Dewan Rakyat pada Rabu kecoh seketika gara-gara perkataan ‘macai’ dan ‘celaka’ ketika RSN Rayer (PH-Jelutong) membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023.
Kekecohan bermula apabila Rayer membandingkan pentadbiran di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan amalan hak asasi manusia yang dilaksanakan.