Pembinaan tambahan struktur ‘melampau’ berdepan tindakan - Kor Ming

Iklan
Kor Ming - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mana-mana pembinaan tambahan struktur yang boleh mengundang risiko bahaya kebakaran termasuk melakukan ubah suai melampau dengan menambah ruang bilik sewa sempit seakan ‘liang lahad’ boleh diambil tindakan di bawah Akta Bomba.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antara akta yang boleh digunakan adalah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Iklan
Iklan

Menurutnya, undang-undang sedia ada telah mencukupi bagi menangani pembinaan bangunan tambahan tanpa izin.

"Soalnya adalah tentang penguatkuasaan undang-undang. Setiap pembinaan perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan

"Setiap kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000, penjara tiga tahun dan sekiranya kesalahan itu berterusan setiap hari, dendanya boleh digandakan RM100 setiap hari," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Kor Ming menunjukkan muka depan Sinar Harian ketika mengulas isu bilik ‘sangkar burung’ di Lembah Klang yang sempit.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang bertanyakan mekanisme pemantauan digunakan oleh pihak kementerian terhadap pembinaan bangunan tambahan bagi mengelakkan risiko kebakaran dan ancaman keselamatan terhadap penduduk sekitar.

Iklan

Afnan Hamimi turut bertanya adakah pihak kementerian bercadang bagi mewajibkan penghuni atau pemilik bangunan untuk mengikuti kursus berkaitan undang-undang.

Kor Ming berkata, pihaknya juga sentiasa komited bagi memastikan bangunan dan rumah yang didiami oleh penduduk berada dalam keadaan selamat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan wujud bilik sewa kapsul seperti 'sangkar burung' yang hanya memuatkan sebuah tilam dengan sewa RM300 sebulan.

Bilik sewa yang turut mengabaikan aspek keselesaan dan keselamatan itu semakin bercambah ekoran sikap pemilik rumah yang mahu mengaut keuntungan berlipat ganda.