KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melaksanakan sebarang sekatan jalan raya (SJR) di kawasan berisiko seperti laluan berbukit atau selekoh.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sekatan di kedua-dua lokasi itu hanya akan dibuat jika berlaku kemalangan.
"Memang sekatan jalan raya tidak dibuat di kawasan berkenaan (selekoh dan bukit) kecuali jika berlaku kemalangan yang bertujuan untuk menjaga lalu lintas sehingga kemalangan selesai.
"(Namun) apa juga pandangan yang diberikan tadi kita akan ambil maklum (kerana) tujuan kita untuk jamin keselamatan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang memintanya menerangkan prosedur operasi standard (SOP) SJR memandangkan kawasan selekoh dan berbukit mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, PDRM mempunyai SOP dan garis panduan yang mesti dipatuhi anggota dan pegawai ketika menjalankan tugas di SJR.
Namun katanya, sekiranya ada aduan pelanggaran SOP oleh pegawai atau anggota yang terlibat ketika operasi dijalankan, siasatan akan dibuat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
"Maksudnya setiap operasi atau SJR yang kita jalankan harus mengikut SOP,” katanya.