KKD akan panggil penyedia media sosial bincang isu iklan jelik

Iklan
Fahmi ketika Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memanggil beberapa penyedia aplikasi media sosial bagi berbincang berhubung isu kandungan iklan jelik di platform yang terlibat.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, perbincangan itu bertujuan memberi penegasan mengenai iklan jelik seperti berbaur seksual yang tidak sepatutnya dimainkan di negara ini.

Iklan
Iklan

"Kebiasaannya iklan disajikan kepada kita adalah berdasarkan apa yang algoritma itu anggap kita suka tonton dan tengok. Contohnya, kalau kita suka tengok kereta, maka keretalah yang disajikan. Jadi saya ambil maklum isu ini.

"Memang pelbagai platform media sosial ada algoritma sendiri, sebab itu isu algoritma ini adalah isu yang agak bermasalah dan ia boleh mengakibatkan satu bentuk sindrom terowong atau ruang gema," katanya.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara yang bertanyakan mengenai usaha kerajaan dalam menyekat kandungan iklan melampau di media terutamanya media sosial.

Sementara itu, Fahmi berkata, dalam tempoh 1 Oktober sehingga 15 November lepas, sebanyak 147 kandungan berunsur kebencian atau hate speech berkaitan konflik Palestin-Israel diturunkan dengan kerjasama penyedia platform media sosial.

Iklan

Beliau berkata, langkah itu akan diteruskan bagi memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Dalam menangani dan mengekang kandungan radikal dan ekstremisme, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan sesi perbincangan bagi mendapatkan kerjasama daripada pihak penyedia platform media sosial antarabangsa.

"Ia bagi memastikan kandungan berunsur kebencian yang membabitkan isu konflik Palestin-Israel ini dapat diatasi dengan lebih baik," katanya menjawab soalan asal Senator Noorita Sual yang ingin tahu langkah kerajaan dalam mengekang kandungan radikal dan ekstremisme khususnya konflik Palestin-Israel di media sosial.

Fahmi berkata, usaha penerapan nilai keamanan di seluruh negara juga giat dilaksanakan menerusi media massa berpandukan Kod Kandungan yang memberikan panduan jelas berhubung standard kandungan selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Beliau berkata, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai ejen penyampai maklumat rasmi juga sentiasa menyalurkan berita yang seimbang dan berobjektif.

Usaha itu katanya, akan membantu menghindari penyebaran pandangan ekstrem serta menimbulkan kebencian dan panik dalam kalangan masyarakat, selari dengan hala tuju dan dasar semasa kerajaan tanpa menjejaskan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara. - Bernama