SHAH ALAM - Plus Malaysia Berhad (Plus) memperuntukkan RM18 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas awam di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol terpilih sepanjang Lebuhraya Plus.
Plus dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja penambahbaikan tandas awam ini yang melibatkan 31 lokasi iaitu tujuh kawasan R&R, satu restoran jejantas, 12 hentian sebelah dan 11 plaza tol terpilih sedang giat dijalankan.
"Kesemua kerja penambahbaikan tandas awam Lebuhraya Plus dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat bermula akhir tahun ini sehingga awal tahun hadapan,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, antara kawasan yang terlibat untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas awam ini adalah di R&R Machap (arah utara), Gelang Patah (kedua-dua arah), Tapah (kedua-dua arah), Gurun (arah selatan) dan Pagoh (arah selatan) dan Restoran Jejantas Sungai Buloh.
Menurut kenyataan itu, Plus juga melakukan kerja-kerja penambahbaikan melibatkan Plaza Tol Tapah, Kajang, Jalan Duta, Simpang Ampat, Sungai Besi, Seafield, Kota Damansara, Bukit Raja, Setia Alam, USJ dan Putrajaya.
"Di kawasan R&R terpilih, tandas awam telah ditambah baik dengan menambah bilangan tandas duduk dan dilengkapi dengan kubikel khas untuk orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak, kubikel untuk keluarga, bilik menukar lampin bayi, kemudahan tempat mandi serta landskap untuk pengudaraan dan pencahayaan semula jadi.
"Bagi memastikan keselesaan berterusan pengguna lebuh raya sepanjang tempoh kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan, pengguna lebuh raya boleh menggunakan kemudahan tandas sementara yang telah disediakan,” kata kenyataan itu.
Setakat hari ini, kerja-kerja penambahbaikan tandas awam di 11 lokasi sepanjang Lebuhraya Plus telah disiapkan lebih awal dan sudah boleh digunakan oleh semua pengguna Lebuhraya Plus.
"Bagi meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya pada masa hadapan, Plus merancang untuk melaksanakan projek naik taraf kawasan-kawasan rehat dan hentian sebelah dari masa ke masa.
"Usaha ini adalah komitmen berterusan PLUS untuk menyediakan perkhidmatan dan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya,” katanya.