LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan tiga bot nelayan kerana menangkap ikan di zon larangan di 3.2 batu nautika dari muara Sungai Belukang di sini hari ini.
Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot nelayan tempatan Kelas B bersama tiga tekong dan sembilan awak-awak warga Myanmar ditahan pasukan yang melakukan rondaan pada jam 3 pagi.
Menurutnya, pihaknya turut merampas kira-kira 600 kilogram (kg) ikan hasil daripada aktiviti itu.
"Ketiga-tiga bot nelayan tersebut ditahan setelah didapati telah melanggar syarat lesen yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Perikanan.
"Kesemua bot dan tekong termasuk awak-awak yang berusia 23 hingga 48 tahun kemudiannya diiring ke Pusat Tahanan Vesel untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu di Kuala Kurau, APMM menahan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran kira-kira 5.5 batu nautika dari Pulau Pasir Hitam kelmarin.
Shahrizan berkata, APMM turut merampas 28 bubu naga termasuk 60kg ikan.
"Tekong warga tempatan dan dua awak-awak warga Myanmar berusia 28 hingga 30 tahun didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
"Kesemua bubu naga termasuk bot gentian kaca dirampas dan dihantar ke Jeti APMM Kuala kurau untuk siasatan lanjut,” katanya.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.