KOTA BHARU - Urusan harian lebih 600 penduduk di 54 unit rumah di Taman Sri Nilam, Limbat dekat sini terjejas apabila terpaksa mengharungi air kotor yang bertakung di persekitaran perumahan itu sejak dua minggu lalu.
Bahkan mereka terpaksa berjalan sejauh lebih satu kilometer dalam air setinggi 0.4 meter untuk pergi ke kereta yang diletakkan di luar kawasan taman tersebut selain memunggah air bersih dalam keadaan air kotor itu kerana masalah bekalan air paip yang dihadapi.
Seorang penduduk, Norhisam Mohamed, 48, berkata, masalah air bertakung itu didakwa berpunca daripada kegagalan sistem perparitan dan longkang yang kecil sekali gus tidak dapat menampung air walaupun hujan berlaku dalam tempoh hanya sehari.
Katanya, keadaan air bergenang di taman perumahan berusia lebih 30 tahun susulan hujan itu juga berbau dan boleh mengakibatkan gatal pada kulit kerana bercampur sampah-sarap.
"Air ini masuk ke bahagian dapur rumah saya sedalam 0.2 meter menyebabkan susah untuk memasak selain bekalan air yang perlu dipunggah dari tangki Air Kelantan Sendirian Berhad yang disediakan di kawasan taman,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Nilam, Limbat pada Khamis.
Seorang lagi penduduk yang juga tukang jahit, Norida Khaldin, 47, berkata, punca pendapatannya turut terjejas apabila bilik jahit yang terletak di kawasan pakir rumah dimasuki air minggu lalu.
Menurutnya, dia terpaksa menyimpan barangan ke tempat lebih tinggi dan tidak dapat menyiapkan tempahan pelanggan.
"Baju-baju pelanggan saya letakkan ke tempat tinggi manakala mesin jahit pula tidak boleh digunakan sebab digenangi air.
"Keadaan ini sukar kerana punca pendapatan saya hanya dengan upah menjahit manakala air bertakung ini pula mengambil masa sehingga seminggu untuk surut, itu pun kalau hari tak hujan,” ujarnya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Tembesu Limbat, Che Mat Ariffin Daud berkata, pihaknya di bawah Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumboh dan inisiatif penduduk sudah bertindak mencuci longkang taman perumahan itu namun keadaan air masih sama.
"Penyelesaiannya perlu ada longkang baharu yang lebih besar untuk mengalirkan air keluar ke tali air atau sungai.
"Saya berharap pihak berwajib juga akan mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk jika hujan berhari-hari,” katanya.