JELITA@RISDA sasar penyertaan 150,000 wanita

Iklan
Rubiah (tengah) merasmikan Jelajah Jelita @ RISDA Terengganu.

KEMAMAN - Seramai 211,040 wanita pekebun kecil di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diminta untuk menyertai program JELITA@RISDA bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang menyatakan melalui program di bawah Pendidikan dan Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) berkenaan, peserta akan diberi pendedahan untuk mengikuti kursus yang berfokuskan kepada peningkatan kemahiran, keusahawanan dan pengurusan kerjaya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 112 kursus telah diadakan melibatkan 1,993 peserta di seluruh Malaysia setakat 24 November lepas.

"Program ini bertujuan untuk menjadi pusat pendidikan terunggul yang tertumpu pada pemerkasaan wanita khasnya wanita luar bandar dari sudut TVET.

Iklan

"Sebanyak 10 bidang yang ditawarkan namun empat bidang menjadi tumpuan kita ialah Pensijilan Halal, Pelancongan, Hospitaliti & Kulinari, Teknologi Agro dan Perniagaan Luar Bandar.

Turut hadir, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said.

Iklan
Rubiah (dua dari kiri) memberi sijil kepada peserta.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, pihaknya menyasarkan seramai 150,000 wanita untuk menyertai program tersebut bagi tempoh tiga tahun.

Jelasnya, fokus utama memastikan peluang pekerjaan dan ekonomi luar bandar dapat dikembangkan menerusi program yang diadakan daripada pihak RISDA dengan memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran.

"Menerusi maklum balas diterima daripada peserta mereka menyatakan program JELITA@RISDA memberi impak bukan sahaja dari sudut pengetahuan dan kemahiran malah pengenalan teknologi dalam industri makanan.

"Jadi secara tak langsung dapat tingkatkan motivasi dan kreativiti peserta-peserta ini bagi teruskan program dan bidang yang dipilih," jelasnya.

Dalam pada itu, Rubiah berkata, pihaknya berusaha untuk mendapatkan dana yang lebih bagi memastikan sasaran seramai 150,000 wanita sertai program berkenaan dapat direalisasikan.

Katanya, program JELITA@RISDA ini merupakan jelajah pertama diadakan di Terengganu selain lima lagi siri akan dilaksanakan ke negeri lain iaitu Selangor, Johor, Kedah, dan Sabah dan Sarawak pada 2024.

Rubiah (kiri ) dan Noraini (kanan) beramah mesra dengan peserta program Jelajah Jelita @ RISDA Terengganu

Sementara itu, Noraini berkata, pihaknya tetap membantu peserta yang sudah menyelesaikan kursus dengan melakukan pemantauan selama enam bulan bagi melihat kemajuan peserta dalam bidang yang diceburi.

"Selain itu, kita juga akan padankan mereka dengan agensi berkaitan supaya dapat bantu mereka kembangkan perniagaan masing-masing.

"Sebagai contoh, pihak Agrobank akan berkongsi segala peluang dan tawaran terbaik kepada peserta. Selepas habis kursus, kita juga sertakan sekali barangan keperluan mereka untuk tujuan berniaga.

"Ini bermakna habis kursus sahaja, mereka boleh mulakan kerja dan berniaga dan itulah istimewanya program ini," ulasnya.