Johor optimis sektor pelaburan terus berkembang

Iklan
Ting Han

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor optimis sektor pelaburan di negeri berkenaan akan terus berkembang berdasarkan kepada jumlah pelaburan yang diterima setakat Jun 2023.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Lee Ting Han (BN-Paloh) berkata, setakat Jun 2023, Johor menerima pelaburan berjumlah RM14.23 billion dengan RM3.347 billion daripadanya di sektor pertanian.

Iklan
Iklan

"Selain itu, kerajaan negeri menerusi Invest Johor turut merangka beberapa sektor fokus, antaranya sektor elektrikal dan elektronik, sains hayat dan teknologi perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-5, pada Khamis.

Iklan

Tambah Ting Han, kerajaan negeri juga akan membangunkan ekonomi rendah karbon bagi merealisasikan inisiatif mampan dan pelepasan karbon sifar global menjelang 2050.

Menurutnya, trend berkenaan juga akan membuka peluang kepada kerajaan negeri menyediakan pelbagai penyelesaian yang boleh dilaksanakan bagi membangunkan ekonomi rendah karbon.

Iklan

"Sebenarnya, inisiatif mampan dan pelepasan karbon bersih sifar global menjelang 2050 sudah menjadi trend arus perdana dan trend ini juga membuka peluang kepada kami untuk menyediakan pelbagai penyelesaian yang boleh dilaksanakan bagi membangunkan ekonomi rendah karbon termasuk pembangunan tenaga suria dan industri berkaitan seperti kenderaan elektrik, tenaga hydrogen dan sebagainya.

"Baru-baru ini, kejayaan Kerajaan Negeri Johor, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, dalam penganjuran Asia Pacific Climate Week 2023 yang melibatkan lebih 3,800 wakil dari 108 negara menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam perkara ini.

"Oleh itu, kami menjangkakan lebih banyak prospek pelabur akan meneroka peluang perniagaan dalam sektor tenaga hijau susulan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan saya serta Yang Berhormat Datuk Hasni (Mohammad), selaku Pengerusi Pusat Kelestarian Johor (JSC) bakal hadir ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau 28th Conference of Parties di Dubai bagi menarik pelaburan dalam sektor ini,” katanya.