Populariti Kuantan dalam anime Jepun mampu tarik pelancong - Yu Man

Iklan
Yu Man (dua dari Kiri) bertanyakan sesuatu terhadap penerima BPP terlibat dalam majlis tersebut pada Khamis.

BERA - Kerajaan negeri akan memanfaatkan populariti Kuantan selepas nama bandar raya itu disebut dalam sebuah anime Jepun terkenal, Jujutsu Kaisen di media sosial baru-baru ini.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, situasi tersebut memberikan kelebihan buat sektor pelancongan di negeri itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, nama Kuantan yang kini menjadi sebutan buat peminat anime tersebut di seluruh dunia mampu menarik lebih ramai pelancong ke Pahang khususnya di bandar raya tersebut.

"Kalau untuk pantai, sebenarnya Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dalam proses menaik taraf lokasi-lokasi terlibat secara berperingkat," jelasnya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung 2023 bagi Daerah Bera dan Temerloh melibatkan 32 penerima terpilih di sebuah hotel dekat sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Iklan

Sebelum ini, dalam episod ke-18 musim kedua yang ditayangkan pada Jumaat lalu, watak dalam anime itu, Kento Nanami ada menyebut ingin melawat Kuantan di Malaysia iaitu pantai di Kuantan sebelum kematiannya.

Penerima BPP Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung Gunung bergambar kenangan bersama Yu Man(duduk, tiga dari Kiri) dan Kamaruddin (tiga dari kanan).

Situasi tersebut turut menyebabkan warga Kuantan berbangga dan ada yang berkongsi keindahan pantai-pantai yang terdapat di ibu negeri Pahang itu di media sosial masing-masing.

Dalam pada itu, langkah kerajaan mengecualikan visa 30 hari untuk pelancong China dan India ke negara ini bermula Jumaat ini, Yu Man memberitahu kerajaan negeri menyambut baik usaha tersebut.

"Langkah ini juga tepat pada masanya kerana kita baharu saja melakukan trip suai kenal empat hari lima malam dengan 14 pemilik ejen pelancongan dari China membabitkan pelbagai lokasi termasuk Taman Negara, Cherating, Sungai Lembing dan Kuantan sendiri.

"Jadi kita jangka, paling awal kita nampak impaknya pada Januari tahun depan dan usaha promosi terus dipergiatkan," katanya.

Sementara itu, mengulas pemberian BPP kluster tersebut, beliau memberitahu ia adalah usaha dan keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu golongan terbabit.

Yu Man berkata, pengagihan itu akan bermula pada hari ini (Khamis) sehingga hujung Disember 2023 melibatkan seluruh daerah di Pahang.

"BPP) ini serba sedikit dapat membantu meringankan beban kepada pemandu bot pelancong, malim gunung dan pemandu pelancong.

"Ia juga secara tidak langsung memberi suntikan motivasi kepada mereka dalam bidang yang diceburi," jelasnya.