KUALA SELANGOR - Harga ikan seluruh negara secara keseluruhannya masih terkawal dan bekalannya juga mencukupi di pasaran sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berakhir hingga Mac tahun depan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mohd Faiz Fadzil berkata, LKIM dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) sentiasa memastikan bekalan ikan mencukupi dan tidak berlaku peningkatan harga.
Menurutnya, aktiviti tangkapan ikan di musim tengkujuh dijalankan berterusan malah hasil tangkapan juga meningkat.
"Namun, apabila berlaku sesuatu fenomena seperti bencana yang mengejut kadang-kadang ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Back To School Anak-Anak Nelayan di Kompleks LKIM Kuala Selangor di sini hari ini.
Mohd Faiz berkata, kenaikan harga ikan berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya permintaan bekalan tinggi.
Justeru, katanya, LKIM melancarkan beberapa program dengan mewujudkan pasar nelayan bagi memendekkan rantaian pemasaran hasil nelayan dengan memasarkan hasil tangkapan secara terus kepada pengguna.
"Kita sudah ada 129 pasar nelayan di seluruh negara yang kebanyakannya berada di kawasan pengkalan nelayan.
"Selain itu kita juga ada 'Q Fish' yang dipelopori Nekmat di dua tempat iaitu di Kuala Kedah dan Kuala Besut menyediakan bekalan menerusi stok simpanan ikan segar beku," katanya.
Ditanya mengenai sekatan eksport ke atas bekalan spesies ikan popular dalam kalangan rakyat negara ini mulai 1 Januari sehingga 28 Februari tahun depan, Mohd Faiz berkata, langkah itu diambil bagi memastikan bekalan ikan domestik terus mencukupi.
"LKIM menguatkuasakan larangan eksport ikan popular seperti kembung, selar, pelaling, bawal dan udang dua kali setahun menjelang Tahun Baru Cina dan Aidilfitri," katanya.