Maqis Labuan rampas mangga, anak pokok dari Brunei

Iklan
Anak pokok yang dirampas Maqis. Gambar kanan: Mangga dan anak pokok yang dirampas Maqis dibawa masuk dari Brunei ke Labuan.
LABUAN -Tindakan dua penumpang feri membawa masuk mangga dan anak pokok buah-buahan dari Brunei ke Labuan tanpa permit mengundang padah apabila barangan tersebut dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Labuan baru-baru ini.

Hasilan pertanian itu dibawa masuk oleh dua penumpang lelaki dan wanita berusia antara 40 hingga 50-an sebaik tiba di pintu masuk Terminal Feri Antarabangsa Penumpang Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah Maqis Labuan, Nazrul Azman Mat Rahim berkata, rampasan hasilan pertanian itu membabitkan 8.36 kilogram buah mangga segar bersama dua anak pokok mangga dan anak pokok mata kucing.

"Nilai rampasan barangan dianggarkan RM145 dan walaupun nilainya rendah namun risiko kemasukan perosak bersama dengan komoditi yang disita boleh menjejaskan industri pertanian negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Nazrul lagi, pelanggaran undang-undang itu adalah di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh disabitkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak lebih RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya," tegasnya.

Beliau dalam pada itu berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian yang masuk ke negara

ini.

"Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.