Runtuhan gudang: Pekerja asing tidak dicarum PERKESO, majikan berdepan tindakan

Iklan
V Sivakumar

SHAH ALAM - Majikan kepada lima mangsa pekerja asing yang terbabit dalam runtuhan tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang berdepan tindakan perundangan selepas disyaki tidak mendaftar dan mencarum pekerjanya dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Semakan agensi berkenaan mendapati, kelima-lima mangsa tidak mempunyai rekod sekali gus melanggar Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Iklan
Iklan

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menegaskan, kegagalan mendaftar dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tiga buruh warganegara Bangladesh disahkan maut manakala dua lagi parah selepas dihempap tiang rasuk konkrit seberat 14 tan dalam runtuhan di tapak pembinaan gudang sebuah syarikat kurier.

Iklan

Dalam kejadian tersebut, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dalam pada itu Sivakumar berkata, pekerja asing termasuk yang berkhidmat sebagai buruh di sektor pembinaan diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan PERKESO berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2020.

Iklan

Namun beliau memaklumkan, hasil semakan kementerian terhadap empat pekerja asing terlibat mendapati mereka mempunyai rekod pendaftaran tetapi tiada caruman sejak diambil bekerja antara 2020 hingga Julai 2023.

Bagaimanapun katanya, seorang lagi pekerja asing yang maut tidak mempunyai rekod pendaftaran dan caruman.

"Sehingga kini PERKESO masih giat menjalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia serta agensi berkaitan, mengenai empat lagi pekerja asing yang dilaporkan tertimbus di bawah serpihan runtuhan di lokasi kejadian,” jelasnya.

Sementara itu Sivakumar berkata, lebih 1.88 juta pekerja asing dilindungi menerusi Skim Perlindungan Bencana Kerja mengikut Akta 4, dengan 4,566 insiden kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan ke PERKESO berdasarkan perangkaan setakat 31 Oktober lalu.