KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang akan bermula secara projek rintis Jun tahun depan mempunyai tiga ciri asas termasuk bersifat sukarela tanpa undang-undang baharu.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dua ciri lain ialah berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
"Pelaksanaan bersifat sukarela ini untuk memastikan ketersediaan dan kemampuan majikan menerima pakai model gaji progresif dan memberi ruang mencukupi kepada syarikat untuk bersiap sedia dan melakukan penyesuaian tanpa tekanan kos terlalu besar, terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang membentuk 97 peratus daripada majikan di negara ini.
"Ciri berteraskan insentif pula ialah kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai untuk membantu majikan membiayai sebahagian kos untuk menyertai dasar baharu ini. Insentif ini diberikan kepada syarikat yang memenuhi syarat dan kriteria untuk tempoh satu tahun bagi membolehkan syarikat menyesuaikan pelan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Tambah Ahli Parlimen Pandan itu lagi, ciri ketiga pelaksaan polisi baharu tersebut ialah kenaikan gaji yang terkait dengan produktiviti menekankan kesaksamaan antara majikan dan pekerja melalui konsep timbal balik.
Ujarnya, konsep ini bertujuan untuk menangani kebimbangan utama pihak majikan, iaitu kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan produktiviti pekerja.
Sementara itu, ketika sidang akhbarnya, Rafizi menjelaskan pelaksanaan dasar baharu itu akan membabitkan 1,000 syarikat yang memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.
Katanya, pemilihan syarikat bagi projek rintis itu akan melalui proses yang menekankan sokongan dasar, tahap keperluan sektor dan kesaksamaan.
"Penilaian impak akan dibuat terhadap keberkesanan projek rintis dan ketersediaan dasar sebelum Dasar Gaji Progresif dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.