PUTRAJAYA - Seorang bekas pemandu lori terlepas daripada tali gantung selepas Mahkaman Rayuan di sini hari ini, menggantikan hukuman mati mandatori dengan penjara 20 tahun kerana menyebabkan kematian isterinya, tujuh tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menjatuhkan hukuman itu terhadap Satvender Singh, 37, selaku perayu selepas mahkamah sebulat suara menggantikan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh kepada Seksyen 304 (a) kanun sama.
"Mahkamah mengambil kira segala fakta termasuk hubungan perayu dengan mangsa sebagai suami isteri dan tindakan perayu mencipta situasi kejadian untuk mengelak tanggungjawab dan kematian tragik isterinya yang masih muda.
"Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap perayu bermula dari tarikh tangkap (14 April 2016),” kata Hakim Vazeer Alam yang turut bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.
Hakim Komathy yang membacakan penghakiman berkata terdapat kesan cekik pada leher mangsa yang ditemui di lantai rumahnya manakala anak perempuannya berada di atas katil dan terdapat bantal di sebelahnya.
"Pakar patologi mendapati terdapat susu dalam paru-paru bayi berkenaan. Punca kematian bayi itu mungkin kerana tersedak susu atau ditekup menggunakan bantal.
"Namun, pakar patologi berkenaan tidak dapat menyatakan sebarang pendapat yang boleh dipercayai tentang punca kematian bayi itu. Oleh itu, sabitan (membunuh anak) tidak selamat dan diketepikan,” kata hakim itu.
Hakim itu berkata keterangan bahawa perayu orang terakhir yang melihat isteri serta anaknya masih hidup dan apabila perayu dipanggil membela diri di mahkamah, hakim (Mahkamah Tinggi Shah Alam) tidak memperincikan inti pati pertuduhan dan ia memprejudiskan hak perayu dalam membela diri.
"(Oleh itu) adalah tidak selamat untuk mengesahkan sabitan tertuduh atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Setelah meneliti keterangan dalam kes ini, kami mendapati terdapat banyak bukti yang menunjukkan tertuduh telah mencekik mangsa dan menyebabkan kematiannya.
"Kecederaan dalaman pada leher mangsa mungkin hanya disebabkan oleh penggunaan kekerasan yang ketara. Ini menunjukkan bahawa perayu telah berniat untuk mendatangkan kecederaan kepada mangsa dan kecederaan itu telah menyebabkan kematiannya.
"Dalam menjalankan kuasa rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman, kami mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan yang lebih ringan dan mensabitkannya di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan,” kata hakim itu.
Semasa rayuan untuk hukuman yang ringan, peguam Datuk Rajpal Singh mewakili Satvender memohon anak guamnya dihukum penjara 10 tahun atas alasan dia menyesal dan tidak akan mengulangi kesalahan sama.
"Bapa perayu meninggal dunia dua bulan lepas manakala ibunya kini berusia 60 tahun tinggal berseorangan. Anak guam tidak mempunyai rekod jenayah lain dan berharap diberi peluang untuk menjadi individu lebih baik. Dia mahu menanggung keluarga dan meminta maaf kepada keluarga mangsa atas apa berlaku,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah pula memohon hukuman penjara minimum 20 tahun dengan mengambil kira tahap keseriusan kesalahan itu yang membabitkan suami isteri selain perayu mencekik mangsa sehingga menyebabkan kematian.
Pada 19 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap Satvender selepas didapati bersalah membunuh isteri dan bayi perempuannya berusia tujuh bulan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan. - Bernama