KOTA BHARU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan meminta pihak polis melakukan siasatan terhadap Badrul Hisham Shaharin kerana didakwa memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua AMK Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi berkata, laporan itu dibuat selepas menonton satu rakaman video Badrul Hisham atau Che’gubard di laman sosial ketika berceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Ahad lalu.
Menurutnya, kenyataan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu disiasat dan diambil tindakan.
"Sebagai rakyat Malaysia dan mewakili anggota AMK, saya percaya bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh individu tersebut mampu mendatangkan mudarat awam.
"Kenyataannya juga mempunyai unsur jenayah yang bersifat menghina dan fitnah serta mampu mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap kerajaan terutamanya terhadap Perdana Menteri,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini pada jam 2 petang, Khamis.
Ujar beliau, kenyataan tersebut juga tidak sepatutnya dibuat kerana boleh menimbulkan suasana tidak harmoni, perpecahan dan permusuhan.
"Dia jelas dipercayai berniat jahat dan tindakannya mampu menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.
"Sehubungan dengan itu, saya mohon siasatan dan tindakan undang-undang secara tegas dibuat ke atas Badrul Hisham,” katanya.