ALOR SETAR - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis meluluskan usul mengecam kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Usul yang dikemukakan Sharir Long (PN-Pantai Merdeka) dipersetujui sebulat suara oleh semua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk tiga daripada pembangkang.
Sharir berkata, hak utama rakyat Palestin berkaitan dengan penentukan self-determination (hak kendiri) harus ditegakkan dan negara itu sepatutnya diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
"Bagi kita 'two state solution' yang direncanakan dunia adalah pengiktirafan kepada negara haram Israel, serta mengecil dan menghilangkan hak rakyat Palestin terhadap negara mereka yang dijajah," katanya ketika membentangkan usul berkenaan.
Sementara itu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN-Kota Siputeh) ketika membahaskan usul itu berkata, tindakan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin adalah satu pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik dan jenayah kemanusiaan.
Beliau berkata, negara-negara Islam perlu memainkan peranan dengan menyekat sebarang bentuk kontrak kepada syarikat Israel atau syarikat yang menyokong Israel bagi menghukum kekejaman mereka ke atas penduduk Palestin.
"Malah meninjau tindakan yang seharusnya dimainkan oleh dunia Islam adalah penting untuk negara-negara Islam ini menerokai strategi bagi mengukuhkan keberadaan ekonomi sesama negara Islam sebagai tindak balas terhadap negara barat melalui tekanan ekonomi disebabkan pendirian mereka terhadap Israel," katanya.
Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) yang turut menyertai perbahasan usul itu berkata, walaupun berlainan agama, dia bersama dua lagi ADUN pembangkang merasakan penindasan terhadap rakyat Islam di Palestin dan pelanggaran hak asasi manusia patut dikutuk sekeras-kerasnya.
"Saya hairan bagaimana dunia boleh berdiam diri ketika pesawat pengeboman canggih dengan sokongan persenjataan moden dan dron-dron melepaskan bom tanpa mengira masa dan hari.
"Mereka bukan sahaja menyasarkan pejuang Hamas malahan rakyat awam Palestin yang tidak berdosa dan bersenjata sebagai sasaran terutama kanak-kanak dan orang tua," katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media selepas sidang DUN menzahirkan penghargaan kepada semua ADUN yang sebulat suara menyokong usul itu.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dan menyokong usul berkenaan," katanya.