Syabaini pernah jumpa kesan tapak kaki harimau - Penduduk

Iklan
Laporan Sinar Harian.

GUA MUSANG - Pekerja ladang warga Indonesia yang ditemukan maut dipercayai dibaham harimau belang di ladang getah Kampung Kuala Tol, di sini semalam, dikatakan pernah terjumpa tapak kaki binatang buas itu di kawasan ladang berkenaan minggu lepas.

Seorang penduduk kampung itu, Sabariah Awang, 63, berkata mangsa yang dikenali sebagai Syabaini mendakwa menemukan jejak itu di belakang batu besar yang terdapat di ladang berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut Sabariah, lelaki berusia 36 tahun itu juga sempat singgah di kedai runcitnya sebelum ke ladang semalam.

"Minggu lepas arwah Syabaini tunjukkan gambar kesan tapak kaki harimau di kawasan dia menoreh kepada saya. Saya nasihatkan dia supaya berhati-hati dan menjaga diri ketika keluar bekerja.

Iklan

"Saya tidak sangka kejadian ini berlaku terhadap arwah. Dia pernah memaklumkan sedang mengumpul duit untuk pulang ke kampungnya di Aceh, Indonesia," katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Tol di sini hari ini.

Sementara itu, Che Sulaiman Che Kob, 65, yang melaporkan kehilangan Syabaini kepada polis berkata, dia antara kumpulan penduduk yang menggerakkan pencarian selepas mendapat tahu mangsa tidak pulang ke rumah sejak dua hari lepas.

Iklan

"Lokasi kejadian di ladang getah itu hanya kira-kira 400 meter dari jalan utama. Pada awalnya kami menemukan motosikal mangsa sebelum mendapati ada kesan darah di kawasan sama dan kemudian menjumpai seluar mangsa tidak jauh dari situ.

"Kami tidak berani masuk lebih jauh ke dalam kawasan ladang getah, jadi hanya menunggu ketibaan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan polis melakukan pencarian,” katanya.

Che Sulaiman berharap Perhilitan dapat mengambil tindakan segera menangkap harimau terbabit memandangkan penduduk kini ketakutan untuk keluar menoreh.

Semalam Syabaini ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dengan kesan kecederaan di bahagian leher serta hilang tangan kanan, kedua ibu jari kaki serta sebahagian bawah badan.

Kejadian merupakan serangan yang ketiga dalam bulan ini apabila 12 November lepas, seorang lelaki warga Myanmar Ahka Soe Ya, 22, ditemukan maut pada 1.30 tengah hari dipercayai diserang harimau di sebuah ladang getah di Kampung Meranto, di sini.

Kurang 48 jam sebelum itu, mayat seorang lelaki warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di sebuah ladang di Hutan Simpan, Kampung Meranto, juga dipercayai angkara harimau. - Bernama