Prosiding LADA: Ketua Setiausaha Perbendaharaan antara dipanggil - PAC

Iklan
Mas Ermieyati memaklumkan PAC memilih untuk mengadakan Prosiding Pengurusan Pembangunan Hartanah LADA yang diambil daripada LKAN Tahun 2022: Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan, hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican antara individu dipanggil untuk memberi keterangan pada prosiding Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding yang bermula 3.30 petang di Parlimen itu turut melibatkan Timbalan KSP (Pelaburan) MOF, Datuk Dr Shahrazat Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.

Iklan
Iklan

"Prosiding ini adalah susulan daripada dapatan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang diterbitkan pada 22 November lepas,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Menurut LKAN itu LADA didapati masih belum mencapai prestasi memuaskan kerana sebilangan projek pembangunan dan pelaburan swasta tidak dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan pulangan hasil oleh lembaga itu juga tidak mencapai sasaran keberhasilan.

Iklan

LADA juga didapati lemah dalam pengurusan pajakan tanah yang menyebabkan kegagalan kutipan hasil dan mendedahkan kepada risiko kehilangan tanah.

LADA ditubuhkan pada 15 Mac 1990 sebagai badan berkanun di bawah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 (Akta 423) dan merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangun dan memajukan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama bertaraf dunia.

Iklan

Selain prosiding LADA, Mas Ermieyati berkata prosiding Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan HRD Corp akan diadakan 6 Disember ini melibatkan Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Raiha Azni Abd Rahman dan Datuk Palaniappan Joseph yang akan menjadi saksi prosiding itu.

"Setakat ini, PAC telah mengadakan sebanyak lima prosiding berkaitan isu itu dengan saksi yang dipanggil termasuk Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood dan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar serta barisan Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp sesi 2022,” katanya.

Menurut Pengerusi PAC itu, terdapat enam lagi prosiding ditetapkan sehingga tahun depan, antaranya isu Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) pada 5 Disember dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Holdings Sdn. Bhd pada 6 Disember.

"Seterusnya prosiding Auditan Khas Pengurusan Hutan; Impak kepada Alam Sekitar pada 12 Disember dan Pengurusan Program Penanaman Padi pula pada 13 Disember ini.

"Sementara itu, bagi prosiding Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara dan Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah masing-masing pada 2024, namun tarikhnya masih belum ditentukan,” katanya.

Dalam masa sama, katanya sepanjang persidangan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15, sebanyak sembilan prosiding dilakukan dan empat laporan PAC telah dibentangkan, antaranya Laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua bagi Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan pada 9 Oktober dan 14 November.

Turut dibentang Laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri di bawah Kementerian Kesihatan pada 11 Oktober serta Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 30 Oktober.

Mas Ermieyati berkata, PAC juga mengadakan prosiding maklum balas bagi semua laporan itu untuk mengetahui tindakan kementerian terhadap syor yang dikemukakan.

Jawatankuasa itu katanya akan membentangkan semua laporan maklum balas tersebut pada persidangan Dewan Rakyat, Februari tahun depan. - Bernama