SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bilangan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian melonjak 23.5 peratus pada suku tahun kedua 2023 (ST1 2023: 3.5 peratus) dengan merekodkan 261,231 kekosongan (ST1 2023: 211,509).
Peningkatan jumlah tersebut diperoleh daripada Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Penawaran Pekerjaan Diiklankan Dalam Talian di Malaysia bagi suku tahun kedua 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku tersebut, terdapat 70,571 pertubuhan menawarkan kekosongan jawatan, peningkatan ketara daripada 55,006 organisasi yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya.
Menurutnya, kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 29.3 peratus pada ST2 2023 berbanding peningkatan tahunan 32.9 peratus pada ST1 2023.
"Mengikut perincian bulanan, kebanyakan iklan telah disiarkan pada Mei lalu dengan 109,262 kekosongan, manakala terdapat 103,826 dan 48,143 kekosongan jawatan masing-masing pada Jun dan April,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan kekosongan jawatan tertinggi dengan 59,222 jawatan (22.7 peratus), Selangor yang berada di kedudukan kedua sebanyak 20,438 (7.8 peratus), diikuti Johor meliputi 11,436 (4.4 peratus), sebaliknya Perlis mencatatkan bilangan terendah iaitu 91 iklan kekosongan.
Menurut beliau, dari segi pengagihan kekosongan jawatan mengikut kategori pekerjaan, profesional merupakan penyumbang terbesar dengan 48.1 peratus atau sebanyak 125,625 kekosongan jawatan.
"Jawatan yang mendapat permintaan tinggi pada suku tersebut adalah profesional pengiklanan dan pemasaran sebanyak 20,846, pengarah urusan dan ketua eksekutif (12,703), profesional bersekutu pentadbiran (12,284), akauntan dan juruaudit (10,781) serta pembangun perisian (7,779),” jelasnya.
Bagi sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata, penyumbang terbesar kekosongan jawatan diiklankan dalam talian adalah perkhidmatan dengan 59 peratus yang mencatatkan sejumlah 154,134 kekosongan pada ST2 2023.
"Selain itu, kesemua aktiviti ekonomi mencatatkan peningkatan pada ST2 2023 kecuali kesenian, hiburan dan rekreasi; perlombongan dan pengkuarian; aktiviti perkhidmatan lain; bekalan elektrik, gas, wap dan pendingin udara; bekalan air; pembetungan, pengurusan sisa dan aktiviti pemulihan.
"Dapat diperhatikan bahawa perdagangan borong dan runcit mendominasi kekosongan jawatan dengan 18.2 peratus atau 47,597 kekosongan, pembuatan merekodkan sebanyak 27,429 (10.5 peratus), diikuti aktiviti profesional, saintifik dan teknikal pada 18,667 (7.1 peratus) dan aktiviti kewangan dan insurans atau takaful dengan 18,665 (7.1 peratus),” tambahnya.
Beliau berkata, daripada perspektif pekerjaan popular pula, kategori pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), profesional pengiklanan dan pemasaran mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 20,846.
"Bagi senarai pekerjaan teknikal (COL), permintaan tertinggi adalah profesional pengiklanan dan pemasaran (20,846), pengarah urusan dan ketua eksekutif (12,703) serta akauntan dan juruaudit (10,781),” ujarnya.
Tambah Mohd Uzir, permintaan tinggi bagi kemahiran insani dalam kalangan majikan terdiri daripada penguasaan bahasa Inggeris, komunikasi yang efektif, penguasaan bahasa Malaysia, keupayaan merancang dan kemahiran pemasaran.
"Selain itu, terdapat penekanan yang semakin meningkat terhadap kemahiran teknikal iaitu penguasaan bahasa Mandarin, keupayaan menganalisis, kecekapan dalam Microsoft Office, kepakaran pemfailan dan kemahiran pengurusan projek.
"Membina dan menyelaraskan kemahiran secara konsisten penting untuk mengukuhkan peluang pekerjaan dalam kalangan pencari kerja,” katanya.
Dalam pada itu, DOSM akan menjalankan Banci Pertanian pada tahun 2024 dan orang ramai boleh melayari https://www.myagricensus.gov.my/ untuk maklumat lanjut.