KUALA LUMPUR - Kerajaan masih di peringkat mengkaji mekanisme bagi pengagihan bantuan dan subsidi secara paling berkesan serta mudah kepada rakyat, kata Kementerian Ekonomi.
Antara kaedah itu termasuk pengagihan menerusi e-baucar, e-dompet atau penyaluran tunai secara terus melalui akaun bank.
"Sebagai contoh, bayaran Sumbangan Tunai Rahmah secara tunai akan disalurkan terus ke dalam akaun bank penerima manakala skim-skim bantuan terpilih di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menggunakan e-dompet.
"Bagaimanapun, penyaluran bantuan secara tunai masih perlu dipertimbangkan untuk penerima di kawasan luar bandar yang berdepan kesukaran capaian rangkaian telekomunikasi.
"Oleh itu, mekanisme ini perlu diteliti dengan lebih lanjut bagi memastikan agihan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan memudahkan penerima,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Tuan Azli Yusof (PH-Shah Alam) sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan sistem e-dompet secara menyeluruh untuk menggantikan bantuan tunai dalam pelaksanaan bantuan subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan barangan asas.
Menjelaskan selanjutnya, kementerian berkata, selaras dengan langkah ke arah pendigitalan ekonomi, pelaksanaan ekosistem tanpa tunai seperti e-dompet juga dapat menggalakkan masyarakat untuk menggunapakai teknologi. - Bernama