PELUMBA cilik, Maleeq Dragster mencipta sejarah apabila menjadi anak Malaysia pertama membawa pulang trofi Run Bike Series (RSC) Jepun musim ke-12 baru-baru ini.
Maleeq atau nama penuhnya, Wan Ayden Maleeq Wan Mohd Muzri berjaya menewaskan barisan pelumba dari negara lain, antaranya China, Jepun dan Thailand pada kejohanan di Tokyo Summerland itu.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, kejayaan pelumba berusia empat tahun itu hasil latihan serta keringat tanpa hentinya dan menjadi kebanggaan buat negara.
"Kejayaan ini membawa kegembiraan dan kepuasaan seorang ayah melihat kejayaan anaknya berlumba dan seterusnya mengharumkan nama negara.
Maleeq yang sebelum ini muncul naib juara Siri Kejuaraan RCS Japan musikm ke-11, turut berjaya merangkul Anugerah Top 6 dalam kejohanan sama bagi kategori kanak-kanak berusia empat tahun.
Kedudukan tempat kedua bagi kejohanan itu diraih pelumba dari China, Kang Minghao, manakala wakil tuan rumah, Towa merangkul tempat ketiga.
Dalam pada itu, Wan Mohd Muzri menjelaskan, Maleeq menjalani latihan intensif di Pusat Latihan M8 empat kali semingu dan sentiasa memastikan stamina kekal pada tahap terbaik dengan pelbagai aktiviti di rumah.
"Sebagai ibu bapa, kami merancang latihan dan strategi terbaik untuk persiapan terbaik anak-anak. Tanpa usaha dan pengorbanan tidak mampu kita ukir kejayaan.
"Membawa nama Malaysia dan M8 Malaysia ke peringkat lebih tinggi adalah satu tanggungjawab besar. Untuk berada sebagai pelumba Malaysia pertama menjuarai RCS di Jepun memerlukan semangat yang kuat dalam diri," jelasnya.
Musim 2022 merupakan tahun gemilang buat Maleeq apabila menjadi juara pelbagai kejohanan seperti Grand Prix Pushbike 2022, Kejuaraan KPBY 2022, Kejuaraan Garuda 2022, Race with Loversary (IBCC) 2022 dan Independent Race (IBCC) 2022.
Malah, Maleeq turut menakluk gelanggang di Thailand dengan menjuarai Racing Central Bangna, Bangkok sebelum menguasai perlumbaan Centre Bike Cup di Vietnam tahun lepas.
Menariknya, Maleeq juga berjaya mengekalkan kejuaraan di Rockfish Thailand dan Siri Pushbike Antarabangsa M8 International Pushbike 2023