Dakwaan salah laku anggota polis, individu diminta buat laporan

Iklan
Fakhrudin

PETALING JAYA - Polis belum menerima laporan berhubung dakwaan salah laku melibatkan anggotanya menerusi video tular yang dimuat naik seorang pengguna media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, semakan awal mendapati individu dalam video terbabit mendakwa dihubungi anggota polis pada Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

"Individu itu mendakwa anggota polis telah menahan pekerjanya yang merupakan warga asing dan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

"Bagaimanapun, individu itu menyangkal dakwaan anggota berkenaan dan menegaskan pekerjanya mempunyai dokumen yang lengkap," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Iklan

Katanya, individu berkenaan kemudian mendapatkan maklumat daripada pekerjanya itu sendiri berkaitan perkara tersebut.

"Pekerjanya itu mendakwa ditahan empat lelaki dipercayai anggota polis selain wang berjumlah RM200 diambil oleh salah seorang anggota berkenaan.

Iklan

"Semakan awal mendapati belum ada sebarang laporan polis dibuat berkaitan dakwaan berkenaan," katanya.

Menurutnya, individu terbabit diminta segera membuat laporan polis bagi tindakan lanjut dapat segera diambil berhubung perkara itu.

"Pihak polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan salah laku mana-mana pegawai atau anggota sekiranya mereka benar didapati melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Minggu lalu, tular video di media sosial berkaitan seorang individu mendakwa pekerjanya ditahan oleh beberapa individu yang mengaku sebagai anggota polis.

Individu terbabit turut mendakwa berlaku salah laku melibatkan anggota berkenaan ketika pekerjanya itu ditahan untuk pemeriksaan.