TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan pelan politik beliau bertujuan untuk mendapatkan pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) terhadap keputusannya mahu merampas Tebing Barat yang menerima bantahan keras negara antarabangsa.
Rancangan jahat itu diumumkan susulan kemenangan dalam pemilihan kepimpinan utama Parti Likud pada 26 Disember lalu.
Akhbar Times of Israel mendedahkan pelan enam perkara yang didedahkan ketika ucapan bagi meraikan keputusan itu kelmarin yang menyebabkan Netanyahu kekal memegang jawatan sebagai pemimpin Parti Likud.
"Pertama sekali, kita akan memuktamadkan sempadan disusuli langkah untuk menggesa AS mengiktiraf kedaulatan Israel di Lembah Jordan dan utara Laut Mati. Langkah ketiga kita akan menggesa Washington mengiktiraf kedaulatan ke atas seluruh komuniti di Tebing Barat tanpa pengecualian.
ARTIKEL BERKAITAN: Netanyahu isytihar menang besar pemilihan Parti Likud
"Keempat, kita akan menjalinkan perikatan pertahanan bersejarah bersama AS yang akan melindungi kebebasan tindakan Israel. Langkah keenam adalah menyekat kemaraan Iran dan sekutunya serta yang terakhir adalah berusaha mencapai perjanjian damai dengan negara Arab," lapor akhbar itu.
Dalam perkembangan lain, Palestin mengutuk rancangan Tel Aviv yang mahu membenarkan penduduk Israel mendaftarkan surat ikatan tanah di Kawasan C di Tebing Barat bersama Kementerian Kehakiman.
"Langkah dibuat Menteri Pertahanan, Naftali Bennett itu sememangnya satu cabaran kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Ia satu percubaan untuk merampas sebahagian besar tanah milik penduduk Palestin," lapor Palestinian News Agency (WAFA) memetik kenyataan wakil penduduk. - Agensi