SERI KEMBANGAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan aktiviti kutipan wang rakyat digesa melaksanakan pelan audit tahunan bagi mengelak berlakunya penyelewangan.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, selain itu pertubuhan berkenaan juga perlu mengambil pendekatan menghebahkan kepada rakyat setiap kali wang sumbangan itu digunakan.
"Nasihat saya pertubuhan (yang mengutip dana awam) ini perlu telus menguruskannya, dari segi transaksi kewangan misalnya ia perlu diaudit secara tuntas.
"Perlu dilaksanakan audit setiap tahun, kemudian telus dengan rakyat.
"Katakan sumbangan yang kita dapat itu perlu diwar-warkan, sebarkan untuk pengetahuan mereka, disalurkan kepada mana dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Ikram di sini pada Khamis.
Katanya, ini bagi mengelak timbulnya salah faham berhubung wang yang telah disumbangkan oleh rakyat.
"Saya fikir ini penting, selain itu prosedur kewangan pun suatu yang perlu diperketatkan.
"Jadi jika semua perkara ini dilakukan, duit sumbangan itu tidak mudah untuk diselewengkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang pandangan terhadap pertubuhan yang menguruskan dana kutipan wang rakyat.
Baru-baru ini terdapat pertubuhan yang mengurus dana awam terpalit dengan isu kontroversi yang berkaitan dengan pengurusan dana sumbangan orang awam.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 yang akan diadakan di Karangkraf Shah Alam pada 13 dan 14 Disember ini, Badlishah berkata, pihaknya sudah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan Rasuah Busters sepanjang dua hari sambutan berkenaan.
"Saya ingat beberapa minggu yang lepas, perbincangan awal sudah dilaksanakan antara Ikram dan Rasuah Busters, jadi kita akan bersama menjayakan sambutan berkenaan.
"Kita terlibat dengan forum pada HARA tersebut iaitu mengenai bahaya rasuah terhadap keluarga, masyarakat, ia berkisar mengenai isu ini.
"Kita juga akan mengadakan beberapa program bersama pada sambutan tersebut," katanya.
Menyentuh mengenai usaha dilakukan Rasuah Busters sepanjang tiga tahun penubuhannya, Badlishah menegaskan telah banyak inisiatif dilakukan oleh badan itu bagi memerangi rasuah di negara ini.
"Saya lihat kesedaran secara umum mengenai bahaya rasuah sudah meningkat.
"Kita lihat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini juga di mana sedikit sebanyak keputusan itu dibuat berdasarkan kempen oleh Rasuah Busters, yang mana pemimpin yang terpalit dengan rasuah ditolak," katanya.