Pak Nil dilantik duta Bertam Resort and Water Park Penang

Iklan
Aznil bersama pengurusan Bertam Resort and Water Park Penang yang kini menjadi sebahagian keluarganya.

MESKIPUN usianya sudah menginjak 61 tahun, aura personaliti popular, Datuk Aznil Nawawi masih menjadi pilihan apabila dilantik menjadi duta kepada pusat peranginan Bertam Resort and Water Park Penang, baru-baru ini.

Pemilihan pengacara popular itu dibuat selepas Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil berjaya membuka mata ramai termasuk golongan selebriti dan kenamaan mengenai keindahan pusat peranginan itu yang baru dilancarkan secara rasmi pada September lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd, Datuk Mohammed Iqbal S Habeeb Noohu berkata, dengan karisma serta pengaruh yang dimiliki oleh Aznil, pihaknya yakin beliau mampu menaikkan lagi jenama Bertam Resort and Water Park Penang bukan sahaja sebagai lokasi peranginan terkemuka di kawasan utara malah menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Sebagai hos, pelakon dan personaliti media yang terkenal di Malaysia, Pak Nil dilihat mampu menjadi tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke sini dan merasai sendiri pengalaman yang tiada tandingan apabila bercuti di resort ini.

Iklan

"Pak Nil memainkan peranan penting dalam mempromosikan tawaran unik resort, termasuk penginapan bertaraf dunia, taman tema air yang menyeronokkan, pilihan tempat makan yang indah, rumah kelab serta pusat penjagaan kesihatan yang disediakan di sini," katanya ketika ditemui media selepas majlis pengumuman duta Bertam Resort and Water Park Penang serta pelancaran Suite Karaoke Oasis Rhythmnya yang diadakan baru-baru ini.

Berkongsi mengenai sambutan yang diterima, Mohammed Iqbal berkata, pusat peranginan bertaraf lima bintang yang berkonsepkan seni bina Arab dari Maghribi kini mendapat sambutan menggalakkan sejak mula beroperasi akhir tahun lalu.

Iklan

Beliau berkata, keputusannya untuk menghidupkan semula tapak Bertam Resort and Water Park Penang yang sudah terbengkalai selama 13 tahun adalah tindakan yang tepat apabila ia berjaya menjadi destinasi pelancongan baharu selain mendapat reaksi sangat positif daripada orang ramai.

"Dengan pelbagai promosi yang disediakan, kita mahu pusat peranginan serta taman tema air yang disediakan di sini mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

"Pastinya Bertam Resort and Water Park Penang akan menjanjikan suatu pengalaman serta keseronokan yang luar biasa kepada pengunjung," katanya lagi.

Sementara itu, Aznil ketika ditemui menzahirkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan untuk menjadi duta kepada pusat peranginan bertaraf dunia yang dilihat berpotensi berkembang hebat seperti jenama antarabangsa lain.

Beliau mengakui pada mulanya sangsi dengan perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan oleh hotel baharu berkenaan ketika pertama kali menjejakkan kaki untuk bercuti pada tahun lalu.

"Saya pada mulanya hanya buat video untuk berkongsi pengalaman menginap di sini. Pada mulanya saya sangsi dengan tempat ini, ya la tak pernah dengarkan namun apabila melangkah masuk memang saya terpukau dengan keindahan yang sangat luar biasa.

"Tak sangka di kawasan Bertam di hujung Pulau Pinang ini ada satu pusat peranginan yang begitu cantik dan hebat, melalui perkongsian video Pak Nil sebelum ini rupanya berjaya memperkenalkan nama Bertam Resort kepada orang ramai," katanya.

Mohammed Iqbal (kiri) meraikan ulang tahun kelahiran Pak Nil ke 61 selepas majlis pengumuman duta Bertam Resort and Water Park Penang serta pelancaran Suite Karaoke Oasis Rhythmnya yang diadakan baru-baru ini.

Aznil berkata, selepas video perkongsiannya mendapat perhatian ramai, beliau kemudian menerima jemputan daripada Mohammed Iqbal untuk menginap lebih lama di pusat peranginan itu pada Aidilfitri tahun lalu.

Sejak itu, katanya, hubungan beliau dengan pemilik pusat peranginan itu bertambah akrab hingga dilantik menjadi duta pada penghujung November lalu.

Beliau yang menyambut hari lahir ke 61 tahun baru-baru ini dan baru dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) menganggap rezeki yang tidak putus yang dinikmatinya adalah daripada ALLAH dan pastinya akan menggunakan segala kepakaran serta kebolehannya untuk menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan.

"Selagi ALLAH tajamkan otak saya, selagi ALLAH berikan kesihatan serta mental yang sihat, saya akan terus bekerja dan memenuhi segala tanggungjawab yang diberikan.

"Sebab saya suka bekerja...kerja saya bukan kerja yang menyukarkan sebaliknya kerja saya semua yang menyeronokkan seperti pergi bercuti, menjadi cikgu dan mengajar selain saya suka berkongsi video serta pelbagai kandungan yang berfaedah terutama di platform TikTok," katanya lagi.

Aznil yang popular dengan watak Profesor Klon dalam filem adiwira, Cicak Man berharap dengan ilmu yang akan dikongsikan kepada anak-anak di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM nanti mampu untuk melahirkan lebih ramai insan hebat pada masa akan datang selain beliau mahu menjadi sumber inspirasi kepada lebih 740,000 pengikut di TikTok melalui video serta kandungan positif yang dikongsikannya selama ini.