APABILA seorang rakan memberitahu kenalannya beberapa kali melakukan cubaan bunuh diri, penulis bungkam. Orang yang dimaksudkan rupanya insan yang amat penulis kenal.
Tidak terlintas dalam fikiran seorang yang bekerjaya hebat, terkenal dalam bidangnya dan menjadi rujukan ramai termasuk dari luar negara kerana kepakarannya, diuji sedemikian rupa iaitu masalah mental.
Rakan penulis memaklumkan, sahabatnya pernah meminum air sabun dan menjerut lehernya dengan tali.
Perwatakannya begitu berbeza ketika kami bertemu beberapa bulan lalu. Beliau dilihat ceria dan berkobar-kobar saat berbicara tentang bidang kerjanya.
Alhamdulillah, dikhabarkan beliau kini sedang mendapatkan rawatan dan bertemu dengan pakar psikiatri secara berkala untuk merawat penyakitnya itu.
Masalah kesihatan mental sememangnya tidak boleh dibuat main. Ia umpama derita dalam senyap. Malah, usah memandang remeh apabila ada kenalan memberitahu mereka mengalami tekanan mahupun kemurungan.
Sebagai insan yang rapat dengan individu sebegini, apakah peranan kita? Apakah sudut pandang Islam dalam isu psikosis ini?
Setiap orang berisiko
Bagi mendapatkan pemahaman lebih jelas, Sinar Islam mewawancara Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom.
Jelas beliau, isu sedemikian tidak terhad kepada status seseorang dalam masyarakat.
"Malah, semua orang berisiko menghadapi masalah kesihatan mental termasuklah golongan profesional, doktor, ustaz, kaya atau miskin," katanya.
Ketahuilah bahawa penyakit itu berkait dengan keadaan jiwa atau dalaman seseorang.
"Secara umumnya, jiwa dalaman seseorang boleh dibahagikan kepada empat elemen iaitu pemikiran, emosi, kelakuan dan kerohanian (spiritual).
"Misalnya, pemikiran tidak rasional, emosi tidak dapat dikawal, tingkah laku menyimpang dan keperluan spiritual yang tidak dipenuhi,” katanya baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, menurut Dr Mohd Nasir, ketidakseimbangan kimia dalam otak juga dikatakan menjadi pemicu kepada perihal kesihatan.
"Untuk berlaku adil, setiap individu yang menghadapi masalah kesihatan mental perlu diselidik dan didiagnosis punca dia berhadapan penyakit tersebut supaya rawatan sesuai dapat diberikan,” katanya.
Persoalannya, benarkah penyakit mental mempunyai perkaitan dengan jin atau syaitan?
Dr Mohd Nasir lantas mengemukakan ayat 275, Surah al-Baqarah yang mana ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.”
Berdasarkan kalamullah tersebut, penceramah berkenaan menjelaskan, gangguan jin atau syaitan ada perkaitannya dengan penyakit mental iaitu wujud keadaan seseorang yang dirasuk syaitan.
"Terdapat keadaan lebih serius seperti tidak boleh tidur kerana ternampak sesuatu atau terdengar suara menakutkan atau enggan tidur kerana sering bermimpi mengerikan. Jika keadaan ini berlaku, ruqyah adalah yang paling sesuai merawat gangguan ini.
"Suka saya ingatkan, bukanlah semua masalah kesihatan mental disebabkan oleh gangguan jin dan sihir. Mungkin ada faktor lain. Justeru, perlu cari punca sebenar dan selidik pesakit agar rawatan sesuai dapat diberikan,” katanya.
Keperluan rohani
Menyambung hujah, Dr Mohd Nasir yang pakar dalam bidang kaunseling dan psikologi Islam itu memberitahu, manusia mempunyai elemen jasad dan roh (spiritual), selain pemikiran, emosi serta tingkah laku.
Dengan memahami fungsi dan peranan ‘jiwa dalaman manusia’, katanya, ia merupakan pendekatan terbaik untuk membentengi diri.
Seperkara lagi, beliau menitipkan pesanan agar kita tidak sesekali mengabaikan keperluan rohani. Sebaiknya, penuhilah aspek spiritual itu dengan cara melakukan amal ibadah wajib dan sunat yang mana ia kerap diremehkan.
Bukan itu sahaja, pendakwah itu turut memperbetulkan persepsi salah segelintir pihak yang menganggap peranan dan fungsi ibadah seperti solat serta membaca al-Quran adalah sekadar menjalankan tanggungjawab kepada Tuhan semata-mata.
"Hakikatnya, banyak faedah daripada amalan yang dilakukan itu menyumbang kepada kedamaian jiwa.
"Sebagai solusi paling segera dalam merawat kemurungan dan kesihatan mental, berimanlah dengan qada dan qada, bertoleransi dengan diri sendiri dan orang lain, mendengar ceramah motivasi dan nasihat, banyakkan membaca buku ilmiah, menjauhkan diri daripada media sosial serta buat kerja-kerja kebajikan,” pesannya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Nasir turut mengingatkan orang awam agar memberikan sokongan dan berempati dengan penderita 'penyakit' berkenaan.
"Tiada siapa yang inginkan masalah itu berlaku kepada dirinya. Ingatlah, ia merupakan satu ujian kepada mereka dan ahli keluarga," katanya sambil mengingatkan agar masyarakat tidak menghukum dengan kata-kata penghinaan dan cercaan untuk membantu kelompok tersebut pulih.