Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi mentransformasikan sistem pendidikan negara secara dinamik dan berterusan, seiring perkembangan pesat teknologi di peringkat global.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, DPD menggariskan empat objektif utama iaitu untuk membangunkan murid fasih digital, untuk memenuhi keperluan era digital, mengupayakan pendidikan dan pemimpin pendidikan serta mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.
Malah, DPD katanya dapat memperkukuh infrastruktur serta kandungan pendidikan digital selain berupaya mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.
"KPM yakin menerusi teras strategik DPD, murid berupaya mengguna pakai teknologi digital untuk pembelajaran serta memanfaatkan inovasi dan transformasi digital di sekolah, rumah atau di mana-mana sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran DPD di Pusat Konvensyen Bangi Avenue pada Selasa.
Tambah Fadhlina, KPM menyedari terdapat jurang digital di antara murid di kawasan bandar dan luar bandar yang mana ia boleh dikurangkan dengan memperkasakan 367 buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) serta 16 buah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) di bawah Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara sekali gus menjadi pusat kecemerlangan pendidikan digital.
Kesemua pusat-pusat itu jelas beliau, akan dibekalkan dengan peralatan, perkakasan studio digital dan hab penghasilan digital yang boleh diguna bagi meningkatkan kompetensi digital, membangunkan kandungan serta melaksanakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
"Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan di pusat berkenaan ialah penghasilan video PdP, aktiviti robotik, pengaturcaraan dan realiti maya (VR).
"KPM juga telah menyediakan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi fasa pertama melibatkan 3,910 sekolah dengan 75,354 unit komputer riba, pencetak (3,804 unit), projektor (3,800 unit) dan charging cart (3,228 unit) untuk keperluan PdP di makmal komputer sekolah termasuk penggantian peralatan yang telah usang.
"Peralatan ini telah diedarkan ke sekolah terlibat bermula bulan Mac 2022 dan telah siap sepenuhnya pada Disember 2022,” ujarnya.
Penambahbaikan kelas hibrid
Dalam memenuhi tuntutan peralihan teknologi, Fadhlina memaklumkan, semua sekolah di bawah KPM telah dilengkapi dengan rangkaian jaringan internet dengan capaian jalur lebar berkelajuan 30Mbps hingga 300Mbps di 10,233 buah sekolah.
Daripada jumlah itu, 5,220 sekolah dan institusi pendidikan disediakan dengan talian gentian optik, talian jalur lebar tanpa wayar 4G (4,901 lokasi) dan talian satelit (505 lokasi).
Selain itu katanya, KPM juga sedang menambah baik kemudahan kelas hibrid di 110 buah institusi pendidikan terpilih melibatkan 550 buah bilik darjah.
"Pelaksanaan rintis kelas hibrid ini akan mengupayakan PdP secara digital dan bersemuka dalam satu ekosistem yang sama. Malah, PdP secara silang juga dapat dilaksanakan antara kelas dan sekolah sama ada di dalam serta di luar negara.
"Pendekatan ini dapat mewujudkan PdP yang membudayakan teknologi secara imersif sekali gus menambah baik ekosistem pendidikan digital secara berterusan,” ujarnya.
Kompetensi digital guru
Sementara itu Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi KPM, Zainal Abas memaklumkan, lebih 300,844 guru di seluruh negara telah disaring dan dikategorikan dengan tahap kompetensi digital serta pengetahuan terhadap DPD.
Daripada jumlah itu katanya, 65,092 guru atau 22 peratus berada pada tahap penguasaan asas, 230,785 (76 peratus) di tahap pertengahan dan 5,967 (dua peratus) pada tahap lanjutan.
"Pengesanan saringan tahap kompetensi digital guru masih berjalan dan dijangka selesai pada akhir bulan Disember 2023. Ini yang kementerian sedang usahakan untuk melengkapkan golongan guru dengan kemahiran dan penggunaan teknologi digital dalam membantu proses PdP.
"Antara elemen yang ditekankan dalam teknologi pendidikan ialah penggunaan AI (kecerdasan buatan) dan menerusi pelantar DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) bagi memudahkan guru mencari dan mendapatkan bahan pengajaran bagi tujuan PdP dalam bilik darjah,” ujarnya.
Info Dasar Pendidikan Digital (DPD)
VISI DPD
- Melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
EMPAT OBJEKTIF DPD
- Membangunkan murid fasih digital untuk memenuhi keperluan era digital.
- Mengupayakan pendidikan dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.
- Memperkukuh infrastruktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital.
- Mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.
ENAM TERAS DPD
Teras 1: Murid fasih digital
- Murid yang berpengetahuan dan berkemahiran digital, berupaya melaksanakan pembelajaran kendiri serta menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika.
Teras 2: Pendidik kompeten digital
- Pendidik yang berupaya melaksanakan PdP secara berkesan melalui penggunaan teknologi digital secara bersepadu, kreatif dan inovatif.
Teras 3: Budaya kepimpinan digital berwawasan
- Pemimpin pendidikan yang berupaya merancang dan mengurus institusi pendidikan bagi memacu transformasi pendidikan digital.
Teras 4: Pengupayaan infrastruktur dan infostruktur
- Penyediaan sumber, capaian, aplikasi dan peralatan yang tangkas serta dinamik untuk mengupayakan pendidikan digital.
Teras 5: Kandungan digital berkualiti
- Penyediaan capaian dan sumber pendidikan digital yang berkualiti bagi memenuhi standard kurikulum secara menyeluruh untuk mempertingkatkan pengalaman pengguna.
Teras 6: Rakan strategik yang komited
- Peluasan penglibatan, jalinan dan jaringan strategik antara sektor awam dengan ibu bapa, komuniti, NGO, GLC dan sektor swasta untuk menyokong pelaksanaan pendidikan digital yang berkesan.