Tarikh tutup Skim Air Darul Ehsan dua hari lagi

Iklan
Abdul Halem

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggesa rakyat di negeri ini agar segera membuat permohonan pendaftaran Skim Air Darul Ehsan yang akan berakhir dua hari lagi.

Difahamkan, mulai Mac depan, rakyat Selangor yang gagal membuat pendaftaran skim berkenaan tidak akan lagi layak menerima bantuan air percuma secara automatik.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata, rakyat Selangor tidak seharusnya melepaskan peluang ini bagi membuat pendaftaran berkenaan untuk membolehkan mereka mendapat bantuan air percuma seperti biasa selepas ini.

"Skim Air Darul Ehsan ini merupakan penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar terdiri daripada penduduk di negeri ini.

Iklan

"Oleh sebab itu, kami di Air Selangor menyeru agar seluruh rakyat negeri ini membuat permohonan sebelum tarikh tutup pada 31 Disember ini," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, program air percuma Selangor telah dijajarkan semula bagi menilai kembali penerima yang layak mendapat inisiatif tersebut.

Iklan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga menyatakan bahawa permohonan penerima yang layak bagi skim berkenaan akan diketahui pada Mac 2020 selepas proses semak silang dilakukan berdasarkan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam pada itu, Halem berkata, pihaknya kini giat menggerakkan kempen kepada rakyat di negeri ini menerusi hebahan melalui media cetak, elektronik dan sosial berhubung pendaftaran skim berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu diambil berikutan sambutan kurang memberangsangkan yang ditunjukkan sebelum ini menerusi program turun padang oleh pihak Air Selangor.

"Sejak September kami kerap turun padang bagi membantu membuat pendaftaran di samping memberi hebahan kepada penduduk namun sambutan tidak begitu menggalakkan.

"Oleh sebab itu, kami ambil pendekatan untuk membuat hebahan menerusi media massa dan elektronik. Alhamdulillah, sambutan kini semakin baik selepas hebahan yang kami lakukan ini,"katanya.

Tambah Halem, mana-mana pihak yang ingin membuat pendaftaran boleh melayari laman sesawang www.ssipr.selangor.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Pendaftaran secara atas talian hanya sekejap sahaja dan tidak mengambil banyak waktu. Disebabkan itu kami berharap agar rakyat Selangor tidak melepaskan peluang ini," katanya.