PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat kembali bertugas serta menghadiri mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas tempoh berehat setelah menjalani pembedahan baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dilihat hadir dalam bilik mesyuarat dalam keadaan ceria ketika membuat pendaftaran Identiti Digital Nasional atau Digital ID pada 9 pagi tadi.
Iklan
Iklan
Ahmad Zahid merupakan antara Jemaah Menteri yang menyertai Perdana Menteri mendaftar Digital ID, platform yang dipercayai dan selamat, serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian, tanpa menggantikan sistem MyKad.
"Ya, Datuk Seri kembali bertugas,” kata seorang pegawai Ahmad Zahid.
Pada 19 November lepas, anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menerusi hantaran di Instagram, mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan yang diadakan pada 14 Disember.
Pada 23 November, Ahmad Zahid dalam hantaran di laman sosial miliknya berkata, beliau kini dalam tempoh berehat seperti yang dinasihatkan oleh doktor, sebelum kembali bertugas. - Bernama
Artikel Berkaitan