Tuduhan terhadap projek terowong dasar laut tidak bertanggungjawab

Iklan
Pembinaan terowong dasar laut sepanjang 7.2 km dijangka bermula pada 2030. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN - Beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang berhubung pembinaan terowong dasar laut di negeri ini dilihat tidak benar.

Timbalan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang, R Vijay Pillay berkata, kenyataan yang dikeluarkan parti itu mengenai projek mega berkenaan adalah tidak bertanggungjawab selain berbaur hasutan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah sama sekali menolak atau membatalkan pelaksanaan terowong dasar laut seperti yang dinyatakan oleh Jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Tan Zhen Zune.

Beliau berkata, ini dibuktikan apabila Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari telah menyatakan bahawa kerajaan negeri bersedia untuk mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk mengubah jajaran sekiranya dihalang oleh projek pembesaran Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Iklan

"Umum mengetahui, terowong ini bakal menghubungkan kawasan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam (Pakej 4) merupakan salah satu daripada komponen projek-projek utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

"Tujuan pelaksanaan terowong ini adalah penting dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing khususnya di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Vijay yang juga Ketua Pemuda DAPSY Bukit Bendera berkata, tohmahan kononnya kerajaan negeri telah membuat pembayaran untuk pelaksanaan projek terowong dasar laut juga tidak tepat.

"Zairil telah pun menerangkan bahawa bayaran yang dibuat oleh kerajaan negeri secara ‘land swapping’ dahulunya bukan untuk projek ini. Pembayaran yang dibuat menggunakan kaedah ‘land swapping’ hanya untuk laporan kebolehlaksanaan dan perincian rekabentuk (detailed design) bagi tiga projek lebuh raya utama iaitu Pakej 1, 2 dan 3.

"Baru-baru ini di Sidang Dewan Undangan Negeri juga, beliau turut memberi penjelasan bahawa pelaksanaan projek terowong adalah tertakluk kepada hasil Pelan Induk Pembesaran NBCT oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) yang bakal dimuktamadkan pada akhir tahun ini," katanya.

Kata beliau lagi, berhubung perkhidmatan teksi air, ia sebenarnya merupakan salah satu cadangan Laporan Kajian PTMP pada tahun 2015 di bawah Laporan 'The Water Transport Pre-Feasibility Study' yang dijalankan oleh pihak Halcrow.

"Untuk pengetahuan Zhen Zune, ini ialah inisiatif berasingan dengan projek terowong dasar laut. Sebagai salah seorang jurucakap parti, beliau sepatutnya menyemak fakta terlebih dahulu supaya maklumat yang dikongsikan sahih dan tidak terpesong.

"Pesanan mesra saya, jangan mengeluarkan tohmahan-tohmahan palsu semata-mata untuk meraih populariti murahan. Adakah ini prinsip-prinsip yang diketengahkah oleh Parti Gerakan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin muda?

"Ingat, rakyat Pulau Pinang menilai. Kegagalan yang berterusan oleh Parti Gerakan di Pulau Pinang selama 15 tahun ini harus dijadikan pengajaran," katanya.

Sebelum ini, Zhen Zune dalam kenyataannya meminta kerajaan negeri menjelaskan status pembinaan terowong dasar laut kepada pengundi di negeri ini malah dia turut mempersoalkan sama ada projek itu masih wujud atau sebaliknya.

Menurutnya, ini kerana menerusi menurut penjelasan Zairil, bayaran yang dibuat oleh kerajaan negeri secara ‘land swapping’ dahulunya bukan untuk projek tersebut.