Tentera Israel musnahkan 60 peratus rumah di Semenanjung Gaza

Iklan
Kemusnahan di utara Semenanjung Gaza dilihat dari jalan Salah Al Din. - Foto EPA

BANDAR GAZA - Tentera rejim Zionis Israel dilaporkan memusnahkan lebih 60 peratus rumah dan unit kediaman di Semenanjung Gaza, menurut pejabat media kerajaan Gaza pada Khamis.

"Tindakan tentera penceroboh Israel memusnakan rumah dan unit kediaman menyebabkan penduduk berdepan dengan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing, terutamanya di wilayah Gaza dan utara Gaza," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

Iklan
Iklan

Selain itu, lebih 26 hospital dan 55 pusat kesihatan terpaksa menutup operasi sama ada akibat bedilan bom, ditawan atau dimusnahkan.

"Ribuan mangsa yang maut masih berada di bawah runtuhan dan pasukan pertahanan awam tidak dapat mengeluarkannya kerana kawasan berkenaan telah dikepung selain masalah kekurangan jentera, peralatan dan bahan api,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai berjalan di sepanjang jalan di daerah Khezaa di pinggir bandar selatan Genting Gaza, Khan Yunis, selepas beberapa minggu pengeboman Israel, ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas memasuki hari ke-7 pada 30 November 2023. - Foto AFP

Iklan

Pejabat media itu bekata, Gaza memerlukan 1,000 trak setiap hari untuk mengangkut bantuan yang diperlukan dan satu juta liter bahan api setiap hari diperlukan untuk memulakan fasa pemulihan.

Justeru, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa untuk merangka segera satu pelan menyelamat untuk mencari penyelesaian kepada krisis kemanusiaan secepat mungkin bagi membantu lebih daripada seperempat juta keluarga yang rumah mereka musnah atau rosak.

Iklan

Menurut pejabat media itu, penduduk di wilayah berkenaan memerlukan lebih banyak hospital medan yang dilengkapi dengan peralatan perubatan untuk membantu puluhan ribu mangsa yang cedera. - Bernama-Anadolu