KUANTAN - Jenazah Muhammad Farhan Fudhail Mohd Farid, 16, yang maut selepas terlanggar tiang ketika bermain papan selaju di Townsville, Queensland, Australia petang semalam akan dikebumikan di tanah air.
Datuk saudara mangsa, Azahari Hassan, 47, berkata, jenazah cucu saudaranya itu kini berada di sebuah hospital di Queensland untuk proses bedah siasat.
"Pada asalnya keluarga buat keputusan untuk kebumikan di sana tapi kemudian memutuskan bawa balik ke Kuantan. Sekarang tengah proses bedah siasat jadi jenazah dijangka berada di hospital dalam lima hari juga baru dapat uruskan untuk bawa balik.
"Adik saya difahamkan akan ke sana bagi membantu kakak uruskan hal ini.
"Arwah dua beradik tinggal dengan kakak saya di Australia, iaitu neneknya sejak kedua ibu bapanya berpisah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan mangsa meninggal dunia selepas cedera parah akibat terlanggar tiang di sisi jalan ketika bermain papan selaju di sebuah jalan berbukit di Townsville, Queesland, Australia kira kira jam 2.30 petang semalam.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika ditemui Sinar Harian pagi tadi berkata, Wisma Putra akan membantu membawa pulang jenazah ke tanah air sekiranya pihak waris meminta demikian.
Katanya, ia adalah operasi standard Kementerian Luar Negeri untuk membantu memudahkan urusan warga Malaysia di luar negara yang menghadapi musibah seperti kematian dan kemalangan namun kerajaan tidak membiayai kos.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Malaysia maut ketika main 'skateboard' di Australia