SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membina jalan alternatif bagi mengubah laluan kenderaan berat yang menggunakan laluan awam di Desa Subang Permai.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif berkata, langkah tersebut bagi mengatasi aduan diterima daripada Persatuan Penduduk Desa Subang Permai berkenaan penggunaan kenderaan berat dari kawasan industri berdekatan yang melalui kawasan perumahan mereka.
Menurutnya, MBSA bersama Ahli Majlis kawasan telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pemantauan, lawatan tapak serta beberapa siri perbincangan bersama persatuan penduduk sebelum cadangan pembinaan jalan alternatif itu dibuat.
"Selain itu, laluan sedia ada di kawasan perumahan Desa Subang Permai juga akan ditutup kepada kenderaan berat secara serta merta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Rabu telah diadakan Majlis Menandatangani Surat Perjanjian membabitkan perjanjian persefahaman bagi serahan tanah untuk pembinaan jalan alternatif di Jalan Subang Permai U6/1A, Seksyen U6.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Ir Cheremi Tarman.
Mohd Azhar berkata, projek pembinaan jalan alternatif baru itu akan melibatkan 13 lot tanah dengan peruntukan RM6. 98 juta.
"Seorang pemilik lot (Lot 4028) telah bersetuju untuk menyerahkan tanah berkeluasan 66 kali lebar kerana merupakan laluan
keluar masuk utama di Jalan Pekan Subang.
"MBSA telah menyediakan peruntukan bagi pembinaan jalan alternatif bagi menyelesaikan isu keselamatan, keselamatan lalu lintas dan penyediaan infrastruktur yang lebih baik," katanya.