KEMAMAN - Seramai 1,198 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi melancarkan proses pengundian dan penjumlahan undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kekuatan anggota itu melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan akan dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu serta Bukit Aman.
Selain itu, beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi berkaitan.
"Setakat ini, persiapan yang diatur sejak awal lagi berjalan lancar, di mana semua elemen yang kita susun dan buat tercapai, berada dalam keadaan terkawal dan selesa.
"Sehingga hari ini, tiada banjir di Kemaman, Alhamdulillah. Bagaimanapun, semua perancangan awal melibatkan banjir dan PRK ini tetap diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan persiapan akhir menjelang hari pengundian pada Sabtu bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Tambah Mazli, beliau gembira kerana tiada sebarang insiden yang tidak diingini antara parti, penyokong dan calon sepanjang kempen PRK kali ini.
Ujar beliau, kesemua pihak yang terlibat berkempen dengan terkawal dan mematuhi peraturan serta undang-undang dan tidak menimbulkan banyak masalah.
"Sepanjang tempoh kempen ini, kita dapat tujuh laporan polis. Kita akan susun dan buat siasatan menyeluruh selepas ini.
"Cuma setakat ini tiada isu yang boleh mengganggu perjalanan kempen dan pilihan raya esok," jelasnya.