PUTRAJAYA - Dasar Gaji Progresif bukan bertujuan untuk menggantikan dasar sedia ada seperti dasar gaji minimum dan Productivity Linked Wages System (PLWS).
Sebaliknya, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, ia bertujuan untuk menambah baik dan menjadi pelengkap kepada dasar sedia ada.
Ujarnya, hal ini kerana Dasar Gaji Progresif memberikan kelainan dengan merangkumi ketiga-tiga ciri iaitu bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti berbanding dasar sebelum ini.
"Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli politik, S Arutchelvan memberi gambaran seolah-olah Dasar Gaji Progresif akan menggantikan dasar penggajian yang sedia ada.
"Saya ingin memperbetulkan kefahaman orang ramai mengenai dasar ini yang kertas putihnya telah dibentangkan di Dewan Rakyat dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli Dewan Rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Menurut Rafizi, kandungan kertas putih tersebut bukan sahaja boleh dilihat oleh Ahli Dewan Rakyat, ianya juga boleh diakses oleh orang ramai di https://bit.ly/KertasPutihDasarGajiProgresif.
"Ini membolehkan rakyat meneliti dan memahami Dasar Gaji Progresif yang menjadi taruhan kerajaan untuk menyelesaikan isu gaji rendah dan mendatar dengan mereformasi pasaran buruh untuk meningkatkan gaji pekerja selari dengan peningkatan produktiviti," katanya.
Tambah beliau, Kementerian Ekonomi bertekad untuk menjayakan pelaksanaan projek rintis dasar gaji progresif tahun hadapan sebelum pelaksanaan penuh bagi seluruh negara.
"Sementara saya mengalu-alukan pandangan dan kupasan semua pihak, saya berharap konteks sebenar dikongsi dengan rakyat agar kita dapat mengekalkan momentum dan selesaikan masalah yang telah lama dan akan terus menjejaskan generasi rakyat akan datang," katanya.
Dasar Gaji Progresif yang akan dilaksana pada Jun 2024 dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja dengan andaian pemberian insentif daripada kerajaan sebanyak RM2 bilion.
Pelaksanaan inisiatif itu juga dijangka memberi nilai tambah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.3 bilion.
Selain itu, tambahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka sebanyak RM790 juta dan hasil cukai pendapatan sebanyak dijangka RM1.8 bilion pada tahun pelaksanaan.