KANGAR - Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Arau mengalami kerugian RM38,000 selepas dipercayai ditipu Macau Scam apabila terpedaya dengan dakwaan terlibat dalam siasatan kes pengubahan wang haram dan sindiket dadah melalui panggilan telefon, semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kangar menerima laporan polis daripada lelaki berusia 20 tahun itu semalam.
"Mangsa diperdaya apabila menerima panggilan telefon mendakwa mangsa terlibat dalam siasatan kes jenayah.
"Mangsa juga dinyatakan akan ditangkap oleh pihak polis sekiranya gagal beri kerjasama bagi tujuan siasatan kes,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Yusharifuddin berkata, mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM38,000 itu ke dalam dua akaun bank berbeza selepas menerima arahan diberikan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis atas alasan untuk semakan duit dalam akaun bank milik mangsa.
Beliau berkata, setelah mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek itu, baru mangsa menyedari yang dia telah ditipu dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai boleh membuat rujukan dan semakan berkaitan jenayah komersial menggunakan perkhidmatan yang disediakan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman melalui National Scam Response Center (NSRC) di talian 997. - Bernama