Prasarana kendali hampir 1.1 juta penumpang sehari

Iklan
Prasarana mencatatkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam yang konsisten dengan hampir 1.1 juta jumlah penggunaan sehari setakat 30 November 2023.

SHAH ALAM - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berjaya mencapai hampir 1.1 juta penumpang sehari menggunakan perkhidmatan pengangkutan awamnya di seluruh negara.

Prasarana dalam satu kenyataan memaklumkan, pencapaian itu didorong oleh inisiatif-inisiatif berterusan yang dilakukan pihaknya, termasuk ketersediaan perkhidmatan dan keadaan fasiliti serta kemudahan awam.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mencatatkan purata penggunaan harian sebanyak 835,119 merangkumi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel manakala purata penggunaan perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) adalah sebanyak 258,710," katanya pada Khamis.

Tambahnya, angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433 yang telah dicatatkan pada 22 November 2023.

Iklan

"Angka-angka tersebut merupakan angka tertinggi penggunaan harian perkhidmatan-perkhidmatan kendalian Prasarana yang dicatatkan semenjak negara dilanda pandemik Covid-19," katanya.

Jelasnya lagi, pada awal tahun 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari.

Iklan

"Sementara bagi perkhidmatan rel, pihak Rapid Rail sedang dalam usaha berterusan bagi menambahbaik perkhidmatan dalam memastikan perjalanan yang lancar tanpa gangguan bagi penumpang di kesemua laluan kendalian kami.

"Semenjak bulan September tahun ini, pihak Rapid Rail telah memulakan pengoperasian empat buah tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek KLAV27 (Kuala Lumpur)," katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, baki 15 buah tren akan diterima secara berperingkat sehingga Disember 2024.

Untuk rekod ketika ini, LRT Laluan Kelana Jaya secara purata beroperasi dengan 48 buah tren dengan kekerapan purata 3 minit.

Sementara itu, penggunaan MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang juga menunjukkan angka yang memberangsangkan.

Prasarana mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

"Kami akan terus berusaha untuk memastikan faktor keselamatan, kelancaran dan kestabilan perkhidmatan serta fasiliti yang memuaskan sentiasa dipelihara untuk manfaat orang ramai,” katanya.