Mangsa banjir tak sabar balik ke rumah

Iklan
Salah sebuah bilik darjah yang dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir. (Gambar kecil: Mohd Zamri, Ngatmy, Suria)

JOHOR BAHRU - Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Bukit Mutiara di sini, berharap dapat segera pulang ke rumah masing-masing yang dilanda banjir kilat, pada awal pagi Jumat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan mahu pulang dan membersihkan rumah masing-masing yang pastinya dipenuhi sampah sarap akibat banjir.

Iklan
Iklan

Menurut penduduk dari Kangkar Tebrau, Mohd Zamri Abllah, 32, ketika pulang untuk meninjau keadaan rumah, dia mendapati keadaan sekitar agak kotor dipenuhi sampah sarap.

"Insya-ALLAH, harap tak berlaku lagi banjir di sini, bolehlah saya bawa anak isteri balik ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan
Keadaan air yang memasuki ke dalam rumah seorang mangsa banjir di Kampung Pasir, Tebrau.

Bagi suri rumah, Suria Dollah, 33, banjir kilat itu berlaku sekitar 1 pagi Jumaat, ketika dia bersama keluarga sedang tidur.

Bagaimanapun katanya, dua kali siren yang dibunyikan oleh kenderaan bomba pagi itu membuatkannya segera melihat keadaan di luar rumah.

Iklan

Sementara seorang warga emas, Ngatmy Paki, 65, dari Kampung Pasir Tebrau, di sini berkata, kejadian banjir berlaku ketika dia terjaga dan mahu ke bilik air.

Katanya, ketika membuka tingkap didapati jalan di hadapan rumahnya mula dinaiki air hingga masuk ke dalam rumah.

"Makcik pula terus tarik karpet (permaidani), kerana tidak mahu ia berbau masam apabila dibasahi air.

"Anak makcik yang bongsu kemudiannya datang ke rumah dan membawa makcik serta pakcik ke sini (PPS),” katanya.

Berdasarkan laporan air sudah mulai surut di kawasan yang dilanda banjir, namun kesemua mangsa masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.